Go Green EKSA FSTI 2026: Gotong-Royong Perkukuh Amalan Kelestarian
12 Ogos 2026 | UMPSA Gambang
Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah melaksanakan program Go Green EKSA FSTI 2026 menerusi aktiviti gotong-royong dan pengurusan bahan terpakai di sekitar fakulti sebagai usaha memperkukuh amalan kelestarian dalam kalangan warga FSTI.
Program ini melibatkan warga FSTI dalam usaha mewujudkan persekitaran kerja yang lebih bersih, kemas, ceria dan kondusif selaras dengan pelaksanaan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA).
Antara aktiviti yang dijalankan termasuk pembersihan dan pengasingan bahan terpakai, pengumpulan bahan kitar semula, penghasilan bahan kreatif daripada bahan terpakai serta kemas kini Sudut Go Green EKSA FSTI bagi menjadikan ruang tersebut lebih tersusun, menarik dan informatif.
Program ini turut mengetengahkan usaha penggunaan semula sumber air melalui pemanfaatan air kondensasi daripada penghawa dingin serta lebihan air deionized daripada makmal untuk menyiram tanaman di sekitar fakulti. Inisiatif ini dapat membantu mengurangkan pembaziran sumber di samping menggalakkan penggunaan semula air yang masih sesuai dimanfaatkan.
Melalui pelaksanaan program ini, warga FSTI bukan sahaja berganding bahu menjaga kebersihan dan keceriaan persekitaran fakulti, malah turut didedahkan kepada amalan penggunaan sumber secara lebih bertanggungjawab.
Program Go Green EKSA FSTI 2026 diharapkan dapat meningkatkan kesedaran warga fakulti terhadap amalan 3R (Reduce, Reuse, Recycle) serta memupuk budaya kerja yang lebih lestari dan mesra alam. Usaha ini juga diharapkan dapat menjadikan amalan kelestarian sebagai sebahagian daripada budaya kerja harian warga FSTI.
