Perbincangan Penajaan Program Ijazah Dual UMPSA–Kaznaru Bersama Yayasan Sabah
4 Mei 2026 | UMPSA Gambang
Satu sesi perbincangan berkaitan penajaan pelajar bagi Program Ijazah Dual UMPSA–Kaznaru telah berlangsung melibatkan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Kumpulan Yayasan Sabah.
Sesi ini dianjurkan oleh Pusat Perkhidmatan Akademik dan dipengerusikan oleh Puan Ernie Nurazlin Lizam, Pengarah Kanan Perkhidmatan Akademik, Jabatan Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa. Turut hadir ialah wakil Yayasan Sabah iaitu Tuan Haji Asman Dulamid, Puan Zaidah binti Hussain dan Encik Syaiful Bahri bin Abdul Hakam, serta Dekan Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Profesor Madya Ts. Dr. Aizi Nor Mazila Ramli.
Perbincangan memberi fokus kepada inisiatif penajaan pelajar bagi program ijazah dual tersebut serta strategi pengambilan pelajar berpotensi. Hasil perbincangan mendapati pihak Yayasan Sabah bersetuju untuk menaja seorang pelajar FSTI bagi Program Ijazah Dual UMPSA–Kaznaru yang dijadualkan bermula pada 1 September 2026 (Sesi Akademik 2026/2027).
Selain itu, perbincangan turut melibatkan usaha mengenal pasti calon pelajar berpotensi melalui Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) yang akan diselaraskan oleh Pusat Perkhidmatan Akademik. Inisiatif ini dijangka membuka lebih banyak peluang kepada pelajar FSTI untuk mengikuti program berimpak tinggi di peringkat antarabangsa serta memperkukuh kerjasama strategik antara UMPSA dan Yayasan Sabah.
