FIST UMPSA

View by Category

Industry Co-Lecture DRO2143 Dedah Pelajar kepada Aplikasi Kimia Industri dan Keselamatan Loji Kuasa

3 Jun 2026 – Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah berjaya menganjurkan satu sesi Industry Co-Lecture secara dalam talian bagi kursus Introduction to Industrial Chemistry (DRO2143).

Sesi akademik yang berlangsung dari jam 8.00 malam hingga 10.00 malam ini dikendalikan oleh barisan pensyarah kursus iaitu Ts. Dr. Wan Zaiton binti Wan Sulaiman, Dr. Izirwan Izhab dan Prof. Madya Dr. Abdul Aziz Mohd Azoddein. Program ini telah dihadiri oleh lebih 50 orang pelajar daripada Seksyen RO01 dan RO02.

Mengangkat tajuk yang sangat relevan dengan kursus yang dipelajari, iaitu “Industrial Chemistry in Coal-Fired Power Plants: Equipment, Safety, and Environmental Management”, pihak fakulti amat berbesar hati kerana sesi ini disampaikan secara sukarela oleh jurutera kanan, Ts. Azfar Hazwan Mustaffa. Beliau kini berkhidmat sebagai Senior Maintenance and Inspection Engineer di International Petroleum Corporation (IPCBV).

Dengan pengalaman melebihi 10 tahun dalam bidang pemeriksaan peralatan, penyelenggaraan peralatan statik dan berputar (rotating equipment), serta penyelesaian masalah teknikal yang kompleks dalam sektor petroleum dan tenaga, Ts. Azfar berjaya memberikan perspektif industri yang realistik kepada para pelajar.

Perkongsian beliau merangkumi operasi loji kuasa berasaskan arang batu, amalan penyelenggaraan peralatan industri, aspek kritikal keselamatan pekerjaan serta pengurusan alam sekitar dalam operasi industri berskala besar.

Menurut Ts. Dr. Wan Zaiton binti Wan Sulaiman, penganjuran kuliah industri seperti ini amat penting dalam memberikan pendedahan awal kepada pelajar mengenai aplikasi sebenar teori kimia industri dalam operasi loji dan fasiliti industri. Interaksi bersama pakar industri bukan sahaja meluaskan perspektif pelajar, malah membantu meningkatkan kesedaran terhadap aspek keselamatan dan keperluan industri sebelum mereka melangkah ke alam pekerjaan.

Pihak fakulti merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ts. Azfar Hazwan Mustaffa atas perkongsian ilmu yang amat berharga, serta mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang memberikan komitmen penuh sepanjang sesi interaktif ini berlangsung.

Diharapkan inisiatif kolaborasi akademik-industri seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memperkukuh pengalaman pembelajaran pelajar serta meningkatkan kebolehpasaran graduan FSTI UMPSA di peringkat global

Image
— Contact
Faculty of Industrial Sciences and Technology, UMPSA
26300 Gambang
Pahang