FIST UMPSA

View by Category

Sinergi Akademik–Industri: Jabatan Kimia Malaysia Kongsi Kepakaran Bersama Pelajar FSTI

14 Mei 2026 | UMPSA Gambang

Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menganjurkan sesi co-lecture secara dalam talian bagi kursus Instrumentation Method (BSK2143) yang menampilkan pakar industri daripada Jabatan Kimia Malaysia.

Sesi perkongsian ini menampilkan ChM. Dr. Ahmad Shamsul Irwan bin Hj. Mohd Zaki, Ketua Seksyen Produk Komoditi, Ibu Pejabat Jabatan Kimia Malaysia, yang berkongsi pengalaman serta aplikasi sebenar instrumentasi kimia dalam bidang analisis dan forensik. Program ini bertujuan merapatkan jurang antara teori akademik dan aplikasi industri, khususnya dalam bidang kimia analisis. Dalam sesi tersebut, beliau mengupas penggunaan instrumentasi kimia terutamanya Kromatografi Gas (GC) yang memainkan peranan penting dalam penguatkuasaan dan siasatan forensik di Malaysia.

Antara intipati utama perkongsian termasuk peranan instrumentasi kimia dalam pengesanan bahan bukti secara tepat serta pengalaman sebenar mengendalikan sampel produk komoditi dan bahan bukti jenayah yang memerlukan analisis kimia terperinci. Sesi selama dua jam itu mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelajar kursus BSK2143. Interaksi dua hala yang berlangsung turut memberi peluang kepada pelajar memahami kemahiran dan kompetensi yang diperlukan dalam sektor pekerjaan seperti Jabatan Kimia Malaysia.

Menurut penyelaras kursus, Dr. Nurlin Abu Samah, pendedahan seperti ini penting bagi memastikan pelajar bukan sahaja mahir mengendalikan instrumen makmal, malah memahami kepentingan analisis kimia dalam aspek keselamatan dan sistem keadilan negara. Program co-lecture ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan UMPSA dalam memperkukuh kerjasama strategik bersama agensi kerajaan serta memastikan kurikulum yang ditawarkan kekal relevan dengan perkembangan teknologi dan keperluan industri semasa.

Image
— Contact
Faculty of Industrial Sciences and Technology, UMPSA
26300 Gambang
Pahang