FIST UMPSA Santuni Masyarakat Orang Asli Menerusi Program ‘Susur Belantara & Kuliah Rimba’ di Pos Sinderut
12–14 Jun 2026 | Kuala Lipis, Pahang
Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah berjaya mendekati dan menyantuni komuniti Orang Asli menerusi penganjuran Program Susur Belantara dan Kuliah Rimba yang berlangsung selama tiga hari dua malam di Kampung Tidol, Pos Sinderut, Kuala Lipis.
Program berimpak tinggi yang sarat dengan aktiviti kemasyarakatan ini dilaksanakan hasil kerjasama erat antara FSTI dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) yang bertindak sebagai penyumbang dana serta sekretariat utama. Sinergi ini digerakkan di bawah pimpinan Ustaz Lim Cheng Wei (Ustaz Christ) bersama barisan Penyelaras Pembangunan Insaniah Masyarakat Asli (PePIMA).
Delegasi UMPSA diketuai oleh Dr. Khairul Izamil selaku Ketua Program dan turut disertai oleh barisan pensyarah FSTI iaitu Dr. Azizan Ramli, Dr. Kamrul Fakir Kamarudin, Dr. Izirwan Izhab, Dr. Mohd Azwan Jenol dan Dr. Mohd Shahril Abu Hanifah. Kehadiran kakitangan serta pensyarah daripada pelbagai jabatan dan fakulti lain turut memperkukuh sokongan institusi terhadap pelaksanaan program ini.
Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti berbentuk pendidikan, kesedaran, rekreasi dan kemasyarakatan telah dilaksanakan bagi merapatkan hubungan antara warga universiti dengan masyarakat Orang Asli. Antaranya termasuk Ceramah Tindak Balas Kecemasan (CPR) dan Pertunjukan Sains yang berjaya menarik minat kanak-kanak serta golongan muda.
Selain itu, pelbagai aktiviti riadah turut dianjurkan seperti permainan papan gergasi Snakes & Ladders, pertandingan mewarna dan sukaneka keluarga yang berlangsung dalam suasana penuh ceria. Bagi menghargai warisan budaya masyarakat setempat, program turut diserikan dengan pertandingan menyumpit serta persembahan kebudayaan bersewang yang berjaya mengeratkan hubungan antara peserta dan komuniti.
Kemuncak program menyaksikan kehadiran hampir 600 orang penduduk dari beberapa perkampungan Orang Asli di sekitar Pos Sinderut, termasuk Kampung Tigol, Kampung Tidol, Kampung Sewah, Kampung Lokma' dan Kampung Bukit Long. Sambutan yang amat menggalakkan daripada masyarakat setempat mencerminkan penerimaan positif terhadap program yang dianjurkan.
Program ini bukan sahaja berjaya memperkenalkan UMPSA dan FSTI kepada komuniti pedalaman, malah memberikan pengalaman pembelajaran berasaskan komuniti yang amat bermakna kepada semua warga universiti yang terlibat. Penganjuran program seumpama ini turut mencerminkan komitmen berterusan UMPSA dalam memperkukuh jaringan komuniti serta menyumbang kepada pembangunan masyarakat melalui perkongsian ilmu, khidmat bakti dan penglibatan sosial yang berimpak.
