Program CSR Antarabangsa STEM Perkasa Minat Pelajar Terhadap Sains dan Teknologi
30 Jun 2026 | Kuantan, Pahang
Program Corporate Social Responsibility (CSR) Antarabangsa STEM anjuran pensyarah dan staf teknikal Program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH), Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah berjaya dilaksanakan di SMA Al-Maarif, Kuantan.
Program yang diketuai oleh Dr. Nur Syafiqah Fauzan selaku Pengarah Program ini diadakan dengan kerjasama Universitas Telkom, Indonesia dan PK Agro-Industrial Products (M) Sdn. Bhd. Program ini merupakan salah satu inisiatif dalam memperkukuh hubungan strategik antara universiti, industri dan komuniti melalui pelaksanaan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR), di samping memupuk minat pelajar terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta meningkatkan kesedaran mengenai inovasi teknologi, keselamatan dan pembangunan lestari.
Sepanjang program berlangsung, para pelajar mengikuti sesi perkongsian ilmu yang disampaikan oleh wakil akademia dan industri serta menyertai pelbagai aktiviti STEM secara hands-on di reruai yang dikendalikan oleh pensyarah dan staf teknikal Program OSH, FSTI UMPSA, Universitas Telkom dan PK Agro-Industrial Products (M) Sdn. Bhd. Aktiviti yang dijalankan memberi peluang kepada pelajar meneroka aplikasi STEM dalam bidang keselamatan pekerjaan, tenaga boleh diperbaharui, inovasi, teknologi hijau dan kelestarian alam sekitar melalui pendekatan pembelajaran yang interaktif dan menyeronokkan.
Selain memberi manfaat dari aspek pendidikan, program ini turut menyantuni komuniti setempat melalui sumbangan 200 pek telur CP oleh PK Agro-Industrial Products (M) Sdn. Bhd. Sumbangan tersebut disampaikan kepada pihak pengurusan sekolah untuk diagihkan kepada para peserta sebagai sebahagian daripada komitmen syarikat dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat serta menyokong kesejahteraan komuniti.
Pelaksanaan program ini turut disokong melalui Geran Padanan Antarabangsa yang diketuai oleh Dr. Mirta Widia, yang menjadi pemangkin kepada pengukuhan jaringan kerjasama antara UMPSA dan Universitas Telkom dalam pelaksanaan program berimpak tinggi kepada komuniti.
FSTI merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Universitas Telkom, PK Agro-Industrial Products (M) Sdn. Bhd., pihak SMA Al-Maarif, semua penceramah, fasilitator, staf teknikal serta para pelajar yang telah memberikan komitmen dan kerjasama dalam menjayakan program ini. Diharapkan program seumpama ini akan terus menjadi platform pemerkasaan STEM, memperkukuh jaringan universiti–industri–komuniti serta menyokong aspirasi pembangunan masyarakat yang mampan.
