Program CSR Berteraskan STEM UMPSA Perkasa Pendedahan Pelajar SMK Ubai
27 Ogos 2026 | Kuantan, Pahang
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) melalui Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI) telah melaksanakan Program Corporate Social Responsibility (CSR) berteraskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bersama warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ubai.
Program ini merupakan inisiatif pemindahan ilmu dan perkongsian kepakaran akademik kepada komuniti sekolah dengan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai penerokaan masa depan dan laluan kerjaya berteraskan STEM, di samping pembinaan karakter profesional yang diperlukan dalam bidang STEM dan alam pekerjaan.
Seramai 184 orang pelajar terlibat dalam sesi pembelajaran STEM secara interaktif menerusi dua reruai utama, iaitu Kejuruteraan dan Teknologi serta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan. Pelbagai demonstrasi telah dilaksanakan, termasuk Impak Helmet Keselamatan, Sains di Sebalik Sarung Tangan, Biomekanik dan Ergonomik serta Ujian Perlindungan Telinga terhadap Bunyi.
Pelaksanaan aktiviti secara berkumpulan dan berasaskan demonstrasi memberi peluang kepada pelajar memperoleh pengalaman pembelajaran secara langsung serta menghubungkaitkan konsep STEM dengan aspek keselamatan, kesihatan dan aplikasinya dalam kehidupan seharian.
Program ini turut merangkumi sesi penilaian pengetahuan STEM melalui kaji selidik bagi menilai tahap pemahaman pelajar. Program kemudiannya diakhiri dengan sesi penyampaian mesej motivasi kepada para pelajar sebagai galakan untuk terus meneroka peluang pendidikan dan kerjaya dalam bidang STEM.
Secara keseluruhannya, program ini menyokong usaha UMPSA dalam memperkukuh hubungan antara universiti dan komuniti melalui perkongsian kepakaran, pemindahan pengetahuan serta pendedahan awal kepada bidang STEM. Inisiatif seumpama ini diharapkan dapat meningkatkan pengetahuan dan kesedaran pelajar serta memperkukuh minat mereka untuk meneroka bidang pengajian dan laluan kerjaya berkaitan STEM pada masa hadapan.
