FIST UMPSA

View by Category

Program Profesor Turun Padang Perkasa Pengurusan Risiko dan Kawalan Bahan Kimia di Makmal Sekolah

2 September 2026 | UMPSA Gambang

Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) melalui Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI) telah menganjurkan Program Profesor Turun Padang (PTP) bagi Pengurusan Risiko dan Kawalan Bahan Kimia bersama Kesatuan Sekerja Kakitangan Makmal (KSKM) bertempat di Auditorium Perpustakaan UMPSA Gambang.

Program yang melibatkan seramai 120 orang pembantu makmal sekolah ini merupakan salah satu aktiviti di bawah Geran Inovasi Sosial Universiti (CDU250102) yang bertujuan memperkasa komuniti melalui perkongsian ilmu, peningkatan kemahiran serta pemindahan pengetahuan daripada universiti kepada komuniti.

Program memberi fokus kepada peningkatan kesedaran dan amalan yang betul dalam pengurusan bahan kimia, khususnya berkaitan pengenalpastian bahan kimia berbahaya serta langkah kawalan yang bersesuaian semasa pengendalian dan penyimpanan bahan kimia di makmal sekolah.

Pengisian program merangkumi sesi perkongsian oleh Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Aizuddin bin Abdul Aziz dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses, UMPSA serta Encik Muhammad Faizal bin Zainal Abidin dari Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pahang. Sesi perkongsian turut disusuli dengan sesi soal jawab dan aktiviti berkumpulan yang memberi peluang kepada peserta mengaplikasikan pengetahuan berkaitan pengenalpastian bahaya dan pengurusan risiko bahan kimia.

Selain perkongsian ilmu, program turut mengetengahkan pembentangan dapatan penilaian risiko makmal sekolah sebagai salah satu usaha meningkatkan kefahaman peserta terhadap aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam persekitaran makmal. Pendedahan ini diharapkan dapat membantu pembantu makmal mengenal pasti risiko dengan lebih sistematik serta melaksanakan langkah kawalan yang bersesuaian dalam pengurusan makmal harian.

Pelaksanaan program ini mencerminkan komitmen UMPSA dalam memperkukuh hubungan universiti dengan komuniti melalui pemindahan ilmu yang memberi manfaat secara langsung kepada kumpulan sasaran. Kerjasama antara FSTI, KSKM dan para peserta diharapkan dapat menyumbang kepada amalan pengurusan bahan kimia yang lebih selamat, sistematik dan berkesan di makmal sekolah.

Image
— Contact
Faculty of Industrial Sciences and Technology, UMPSA
26300 Gambang
Pahang