FIST UMPSA

View by Category

Program CSR FSTI Beri Pendedahan STEM dan Pendidikan Tinggi kepada Pelajar SMK Maran

18 September 2026 | UMPSA Paya Besar

Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menganjurkan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) melalui lawatan bermaklumat dan penerangan makmal yang melibatkan seramai 36 pelajar Tingkatan 5 serta sembilan guru pengiring dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Maran, Pahang.

Program yang berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari ini bertujuan memberikan pendedahan awal kepada pelajar mengenai bidang sains dan teknologi, peluang melanjutkan pengajian tinggi serta kemudahan makmal yang terdapat di FSTI.

Antara pengisian program ialah taklimat akademik mengenai program Diploma Sains Industri (DRS) dan Diploma Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DRO), diikuti demonstrasi interaktif berteraskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi memupuk minat pelajar terhadap bidang sains.

Peserta turut diberikan penerangan mengenai aspek keselamatan makmal dan pengenalan kepada jenis-jenis alat pemadam api serta tatacara penggunaannya.

Program diteruskan dengan lawatan ke beberapa makmal FSTI yang dikendalikan oleh staf teknikal dan pegawai sains. Sepanjang lawatan, pelajar berpeluang mengenali kemudahan makmal, memahami penggunaan peralatan serta menyaksikan demonstrasi alatan sains.

Penganjuran program CSR ini mencerminkan komitmen FSTI dalam memperkukuh hubungan universiti dengan komuniti sekolah melalui perkongsian ilmu dan pendedahan pendidikan tinggi. Program ini juga diharapkan dapat meningkatkan minat pelajar SMK Maran terhadap bidang STEM serta memberi inspirasi kepada mereka untuk meneruskan pengajian di peringkat yang lebih tinggi.

Image
— Contact
Faculty of Industrial Sciences and Technology, UMPSA
26300 Gambang
Pahang