FSTI Perkukuh Kompetensi Pelajar melalui Kursus Kad Hijau CIDB 2026 Anjuran Kelab SCITEXS
11-12 April 2026 | UMPSA Gambang
Seramai 80 orang pelajar Diploma Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DRO) telah menyertai Kursus Kad Hijau CIDB 3.0 yang dianjurkan oleh kelab SCITEXS pada 11 hingga 12 April 2026, bertempat di Bilik Kuliah W-DK-12, UMPSA Gambang.
Kursus ini dianjurkan bagi meningkatkan pengetahuan serta pemahaman pelajar terhadap aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tapak pembinaan, selaras dengan keperluan Akta 520. Melalui penyertaan ini, pelajar akan memperoleh Kad Hijau CIDB, yang merupakan keperluan penting untuk memasuki tapak pembinaan serta bukti bahawa mereka telah menerima latihan keselamatan asas.
Sepanjang kursus, para pelajar didedahkan kepada pelbagai topik penting, termasuk perancangan keselamatan tapak bina, pengenalpastian bahaya, pengurusan risiko, serta amalan keselamatan dalam kalangan pekerja. Kursus ini merangkumi lima modul pembelajaran, yang disampaikan melalui sesi teori, perbincangan, serta tayangan video situasi sebenar di tapak pembinaan.
Sesi latihan dikendalikan oleh En. Zairol Hafiz bin Zaidi, yang turut menekankan kepentingan pematuhan terhadap standard keselamatan bagi mengurangkan risiko kemalangan di tempat kerja.
Kursus berakhir pada jam 3.00 petang pada hari kedua dengan sesi bergambar dan penyampaian cenderamata kepada tenaga pengajar sebagai tanda penghargaan.
Penganjuran kursus ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran, kompetensi serta kesiapsiagaan pelajar dalam mengamalkan standard keselamatan yang tinggi apabila melangkah ke alam pekerjaan kelak.
