PERKESO Anjur Beginner Course for Disability Management kepada Pelajar FSTI UMPSA
13–14 Julai 2026 | UMPSA Gambang
Seramai 50 orang pelajar Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menyertai Beginner Course for Disability Management anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Program ini merupakan inisiatif Cawangan Pengurusan Hilang Upaya, Bahagian Pencegahan, Perubatan dan Pemulihan (PPP), PERKESO yang ditawarkan khusus kepada bakal graduan daripada pelbagai bidang, terutamanya keselamatan dan kesihatan pekerjaan, fisioterapi, terapi cara kerja, psikologi, kaunseling, sumber manusia, kerja sosial serta bidang-bidang lain yang berkaitan dengan pengurusan hilang upaya. Sebagai salah sebuah universiti yang menawarkan program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH), UMPSA telah dipilih oleh PERKESO sebagai antara institusi yang menerima manfaat daripada inisiatif ini.
Program ini bertujuan memperluaskan pengetahuan dan amalan pengurusan hilang upaya di Malaysia melalui pendedahan awal kepada bakal graduan. Selain memperkenalkan konsep asas pengurusan hilang upaya, kursus ini turut memberi nilai tambah kepada pelajar menerusi latihan berasaskan industri serta pensijilan khas daripada PERKESO yang mampu meningkatkan kompetensi dan kebolehpasaran graduan.
Sepanjang program berlangsung, para peserta didedahkan kepada konsep dan prinsip asas pengurusan hilang upaya, proses pemulihan dan kembali bekerja (Return to Work), peranan pelbagai pihak berkepentingan serta aplikasi pengurusan hilang upaya dalam persekitaran pekerjaan. Pendedahan ini memberi kefahaman yang lebih menyeluruh mengenai kepentingan pengurusan hilang upaya dalam menyokong kesejahteraan pekerja dan organisasi.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen PERKESO dan UMPSA dalam memperkukuh pembangunan modal insan yang kompeten serta melahirkan graduan yang lebih bersedia memenuhi keperluan industri. Diharapkan ilmu dan kemahiran yang diperoleh melalui program ini dapat dimanfaatkan oleh para pelajar dalam kerjaya mereka, khususnya dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan serta bidang profesional lain yang berkaitan.
