Ready to Industry 2026 Persiap Pelajar Tahun Akhir FSTI Hadapi Latihan Industri dan Alam Kerjaya
6 Oktober 2026 | UMPSA
Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menganjurkan program Ready to Industry 2026 sebagai persediaan kepada pelajar tahun akhir yang bakal menjalani latihan industri pada semester hadapan.
Program yang berlangsung secara dalam talian menerusi Microsoft Teams dari jam 8.00 pagi hingga 1.00 petang ini menghimpunkan seramai 334 peserta termasuk pelajar, pensyarah dan penceramah. Penganjurannya bertujuan meningkatkan kesediaan pelajar dari aspek profesional, mental dan perancangan kerjaya sebelum memasuki alam pekerjaan.
Slot pertama bertajuk “Crafting a Resume That Gets You Hired” disampaikan oleh Ms. Nurneesa Akmal yang berkongsi panduan penyediaan resume berkesan bagi menonjolkan kemahiran, pengalaman dan pencapaian kepada bakal majikan.
Program diteruskan dengan perkongsian “Build Your Brand Before Your Career” oleh Ms. Zalia Farisha yang menekankan kepentingan membina penjenamaan diri (personal branding) melalui penampilan profesional, kemahiran komunikasi dan penggunaan platform LinkedIn untuk mengembangkan jaringan kerjaya.
Aspek persediaan mental pula diketengahkan menerusi slot “Mental Preparation for Industry” oleh Puan Nur Azila binti Osman, Kaunselor UMPSA. Beliau berkongsi tentang perbezaan antara kehidupan kampus dengan alam pekerjaan serta kepentingan disiplin, kebolehsuaian, komunikasi dan keupayaan menerima teguran dalam persekitaran industri.
Slot terakhir dikendalikan oleh Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) FSTI, Ts. Dr. Muhammad Hafiz bin Mazwir, yang memberikan penerangan mengenai laluan kerjaya dan peluang pekerjaan mengikut bidang pengajian di FSTI, merangkumi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Kimia Industri Gunaan, Bioteknologi Industri Gunaan serta Teknologi Bahan Gunaan.
Perkongsian tersebut membantu pelajar memahami kepelbagaian peluang kerjaya dalam bidang masing-masing, termasuk sektor keselamatan industri, analisis kimia, kawalan kualiti, bioproses, penyelidikan dan pembangunan, semikonduktor serta pembuatan berteknologi tinggi.
Secara keseluruhannya, program ini memberi penekanan bahawa latihan industri bukan sekadar memenuhi keperluan akademik, malah menjadi platform penting untuk memperoleh pengalaman kerja, membina jaringan profesional dan mengenal pasti hala tuju kerjaya selepas bergraduasi.
Penganjuran Ready to Industry 2026 mencerminkan komitmen FSTI dalam memperkukuh persediaan pelajar menghadapi latihan industri dan alam pekerjaan, sekali gus menyokong usaha melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing serta memenuhi keperluan industri.
Disediakan oleh:
Zarifah Shahri (Felo Perunding)
