Faculty@Institution Meriah bersama pelajar Diploma Bioteknologi Politeknik Nilai
13 November 2025 | Faculty@Institution
𝐅𝐚𝐤𝐮𝐥𝐭𝐢@𝐈𝐧𝐬𝐭𝐢𝐭𝐮𝐬𝐢 𝐌𝐞𝐫𝐢𝐚𝐡 𝐛𝐞𝐫𝐬𝐚𝐦𝐚 𝐩𝐞𝐥𝐚𝐣𝐚𝐫 𝐃𝐢𝐩𝐥𝐨𝐦𝐚 𝐁𝐢𝐨𝐭𝐞𝐤𝐧𝐨𝐥𝐨𝐠𝐢 𝐏𝐨𝐥𝐢𝐭𝐞𝐤𝐧𝐢𝐤 𝐍𝐢𝐥𝐚𝐢
Politeknik Nilai, 13 November 2025 – Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah melaksanakan Program Fakulti@Institusi bersama 56 pelajar Diploma Bioteknologi Politeknik Nilai. Program ini melibatkan barisan pensyarah FSTI iaitu Dr. Nazira binti Mahmud, Dr. Nor Adila binti Mhd Omar, Dr. Ahmad Mahfuz bin Gazali, dan Dr. Mohd Azwan bin Jenol.
Program bermula pada jam 9.00 pagi dengan ucapan alu-aluan oleh Puan Munirah binti Mihat, Ketua Program Diploma Bioteknologi, Politeknik Nilai. Seterusnya, Dr. Nor Adila menyampaikan pengenalan mengenai UMPSA, merangkumi fokus akademik universiti, laluan pengajian serta program-program yang ditawarkan kepada pelajar.
Penerangan tersebut diikuti oleh Dr. Nazira, yang memberikan taklimat mendalam mengenai Program Bioteknologi Industri (BSB). Beliau turut menghuraikan struktur program, peluang pembelajaran serta prospek kerjaya dalam bidang bioteknologi industri.
Cenderahati turut disampaikan kepada Ts. Ahmad Yazid bin Rahman sebagai tanda penghargaan atas kerjasama antara kedua-dua institusi.
Program diteruskan dengan perkongsian bertajuk “Understanding Immunology” oleh Dr. Ahmad Mahfuz. Selesai sesi tersebut, para pelajar menjalani tiga aktiviti interaktif secara berkumpulan yang dikendalikan oleh beliau bagi mengukuhkan kefahaman konsep yang dibincangkan. Seterusnya, Dr. Mohd Azwan memimpin aktiviti berkumpulan bertajuk “Identify Biotechnology Products”, yang memberi pendedahan kepada pelajar tentang pelbagai aplikasi bioteknologi melalui tugasan hands-on dan perbincangan kumpulan. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja meningkatkan keterlibatan pelajar, malah membantu mereka mengaitkan teori dengan situasi sebenar dalam bidang bioteknologi.
Sepanjang program, para pelajar menunjukkan penglibatan yang baik dan aktif mengajukan soalan berkaitan UMPSA, FSTI serta laluan pengajian dalam bidang Bioteknologi. Lima kumpulan terbaik turut menerima cenderahati sebagai tanda penghargaan.
Program diakhiri dengan sesi bergambar sebelum para pelajar bersurai pada jam 1.00 tengah hari. Program Fakulti@Institusi ini diharap dapat meningkatkan pendedahan pelajar terhadap UMPSA khususnya FSTI, sekali gus menggalakkan lebih ramai pelajar melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah di UMPSA serta menyokong usaha fakulti dalam meningkatkan pengambilan pelajar bagi sesi kemasukan akan datang.
