LAWATAN PENANDAARASAN PROGRAM DRS KE UITM JENGKA: PERKONGSIAN STRATEGIK UNTUK PENAMBAHBAIKAN PROGRAM DIPLOMA
LAWATAN PENANDAARASAN PROGRAM DRS KE UITM JENGKA: PERKONGSIAN STRATEGIK UNTUK PENAMBAHBAIKAN PROGRAM DIPLOMA
11 Jun 2025 – Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah mengadakan satu lawatan penandaarasan ke UiTM Cawangan Pahang, Kampus Jengka, khususnya ke Pusat Pengajian Sains, Fakulti Sains Gunaan. Lawatan ini bertujuan memperkukuh amalan pelaksanaan akademik serta memperkasa kolaborasi antara institusi. melibatkan program Diploma Sains Industri, FSTI, UMPSA dan program Diploma Sains, UiTM.
Lawatan ini telah disambut oleh ChM. Dr. Zurhana binti Mat Hussin, Koordinator Prasiswazah, yang turut mengetuai sesi libat urus pada hari tersebut. Fokus utama lawatan ini adalah untuk meninjau pelaksanaan program Diploma Sains di UiTM serta mengenalpasti amalan terbaik berkaitan pembangunan kurikulum, pengurusan pelajar, serta pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran, dan penilaian akademik.
Sepanjang sesi lawatan, delegasi FSTI diketuai oleh Ts. Dr. Farah Hanani binti Zulkifli, Ketua Program Diploma Sains Industri, dan turut disertai oleh dua orang pensyarah kanan iaitu Dr. Nurjannah Salim (Koordinator Latihan Industri) dan Dr. Siti Maznah Kabeb (Koordinator Peperiksaan) telah diberikan taklimat komprehensif berkaitan struktur dan strategi pelaksanaan program diploma di UiTM, termasuk pendekatan Outcome-Based Education (OBE), sistem pemantauan pelajar dan hubungan dengan pihak institusi/industri.
Menurut Ketua Program Diploma Sains Industri UMPSA, Ts. Dr. Farah Hanani binti Zulkifli, lawatan ini amat bermanfaat dalam memberi perspektif baharu ke arah penambahbaikan program DRS. Dapatan daripada lawatan ini akan dimanfaatkan sebagai input kepada semakan dalaman program serta pelaksanaan Continuous Quality Improvement (CQI), khususnya dalam usaha menyelaras program dengan keperluan profesional dan kehendak industri semasa.
FSTI UMPSA merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak UiTM Jengka atas kesediaan menerima kunjungan ini serta berharap jaringan kolaborasi ini dapat diteruskan dalam pelbagai bentuk pada masa akan datang.