PROGRAM GOTONG-ROYONG PANTAI SUNGAI ULAR, BALOK, PAHANG
Pada hari Ahad, 19 Mei 2024 telah menjadi saksi kepada satu inisiatif murni melalui Program Gotong-royong Pantai Sungai Ular, Balok, Pahang, yang dianjurkan oleh mahasiswa Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). Program ini, yang merupakan sebahagian daripada keperluan kerja kursus DRO2743: Environmental Management and Sustainability, Program Diploma Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, dan telah berjaya mengumpulkan sukarelawan dari pelbagai fakulti untuk menyumbang kepada kebersihan pantai.
Sebanyak 16 orang pelajar dari Fakulti Sains dan Teknologi Industri, 3 orang pelajar dari Fakulti Pengurusan Industri, dan seorang pelajar dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam telah mengambil bahagian dalam program gotong-royong ini. Kehadiran Cik Zarifah binti Shahri, Felo Perunding Program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan FSTI, serta penduduk kampung termasuk En. Shamshul Azlin Bin Abdul Wahid, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Sungai Ular, turut menyuntik semangat kepada para peserta. Turut serta dalam usaha ini adalah pekerja-pekerja dari Alam Flora Sdn. Bhd., syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam.
Tujuan program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran tentang pencemaran laut yang mengancam ekosistem akuatik dan merosakkan keindahan alam sekitar. Aktiviti bermula seawal pukul 9 pagi dengan sesi senamrobik yang menyegarkan, diikuti dengan aktiviti utama mengutip sisa di sepanjang pantai. Dengan sokongan fakulti dan Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta, UMPSA yang menyediakan pengangkutan, program ini berjalan dengan lancar.
Program ini bukan sahaja memberikan kesedaran kepada para mahasiswa tentang kepentingan menjaga kebersihan pantai dan impak negatif sisa plastik, tetapi juga mengeratkan hubungan antara peserta. Aktiviti luar kelas seperti ini memainkan peranan penting dalam mengembangkan nilai kepimpinan dan kesukarelawan di kalangan mahasiswa UMPSA.
Semangat kesepaduan dan tanggungjawab sosial yang ditunjukkan dalam program ini diharapkan dapat menjadi inspirasi kepada lebih banyak pihak untuk mengambil langkah proaktif dalam menjaga alam sekitar. Pantai Sungai Ular kini bukan sahaja lebih bersih, tetapi juga menjadi simbol kerjasama erat antara mahasiswa, penduduk setempat, dan syarikat swasta dalam usaha melestarikan alam sekitar.
Berita disediakan oleh:
Dr. Nor Ashikin Sopian
Penyelaras Kursus DRO2743: Environmental Management and Sustainability
Program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan