Sesi Interaksi Santai Pelajar dan Penasihat Akademik Ts. Dr. Nurul 'Azyyati Sabri
Sesi Interaksi Santai Pelajar dan Penasihat Akademik
9 Januari 2025 | UMPSA
Pada 9 Januari 2025, satu perjumpaan makan malam yang bertemakan biru putih, antara pelajar dan penasihat akademik di bawah seliaan Ts. Dr. Nurul ‘Azyyati Sabri telah diadakan di WDK16, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). Acara yang berlangsung dari jam 7:30 hingga 10:00 malam ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan antara pelajar dan pensyarah serta memberikan ruang untuk berbincang tentang perkembangan akademik, pencapaian, dan cabaran yang dihadapi oleh pelajar sepanjang semester.
Selain sesi penasihatan, perjumpaan ini turut diwarnai dengan acara tukar-tukar hadiah sebagai tanda penghargaan dan sokongan antara sesama pelajar. Setiap pelajar membawa hadiah yang telah dipilih secara rahsia, yang kemudian ditukar secara santai dalam suasana penuh kegembiraan. Selain daripada itu, pelajar juga mendapat goodies bag yang berisi beg kitar semula dan gambar bagi sesi interaksi yang lepas. Aktiviti ini bukan sahaja mempereratkan hubungan tetapi juga memberikan peluang kepada pelajar untuk saling mengenali di luar suasana akademik.
Ts. Dr. Nurul ‘Azyyati Sabri, selaku penasihat akademik, turut memberikan kata-kata semangat kepada pelajar, mengingatkan mereka agar terus fokus dalam mengejar kejayaan akademik, sambil menekankan pentingnya keseimbangan antara pembelajaran dan kehidupan sosial. Selain daripada itu, pelajar juga dinasihatkan untuk menjaga nama baik UMPSA terutama pada pelajar yang akan menjalani latihan industri pada semester hadapan. Acara ini diakhiri dengan suasana yang ceria dan penuh kenangan manis kepada semua yang terlibat.