UMPSA Perkukuh Jaringan Antarabangsa Melalui Program Blended Mobility Bersama UNISA
UMPSA Perkukuh Jaringan Antarabangsa Melalui Program Blended Mobility Bersama UNISA
Gambang, Pahang | 13–17 Disember 2025 – Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh kedudukan sebagai institusi bertaraf global melalui penganjuran Program Blended Mobility bagi kursus BSB3593 Biosensor Technology daripada program Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan Bioteknologi Industri dengan Kepujian (BSB).
Program ini dilaksanakan bersama rakan strategik, Universitas ‘Aisyiyah Yogyakarta (UNISA), dan menjadi satu lagi pencapaian penting dalam usaha FSTI serta UMPSA memantapkan jaringan kerjasama akademik antarabangsa. Seramai empat pelajar antarabangsa dari UNISA mengikuti kursus ini secara hibrid selama sembilan minggu dengan bantuan Pusat Pembelajaran Fleksibel dan Micro-Credential (FlexMC) sebelum menjalani sesi pembelajaran bersemuka selama seminggu di UMPSA. Program ini dipimpin oleh Prof. Madya Dr. Nina Suhaity Azmi, manakala delegasi dari UNISA diiringi oleh Cik Annisa Khumaira sebagai pensyarah pengiring. Kehadiran dua pelajar mobility inbound dari Kazakh National Agrarian Research University (KazNARU) untuk turut sama dalam program lima hari ini menambah dimensi kepelbagaian budaya dan memperkayakan pengalaman pembelajaran semua peserta.
Sepanjang lima hari program, para peserta mengikuti rangkaian aktiviti akademik, makmal dan lawatan yang dirangka bagi memberikan pengalaman pembelajaran holistik. Mereka berpeluang mengikuti sesi hands-on teknologi sel mamalia, menghadiri siri syarahan International Green BioInnovation Talk Series, serta menyertai lawatan akademik ke kampus UMPSA di Pekan dan Gambang. Penglibatan ini bukan sahaja memperkukuh kefahaman peserta terhadap teknologi biosensor dan inovasi bioteknologi, malah turut membuka peluang perbincangan akademik antara pensyarah dan pelajar dari kedua-dua institusi. Selain itu, peserta turut berinteraksi dengan komuniti tempatan melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) antarabangsa di Rumah Penyayang Tun Abdul Razak (RPTAR), sekaligus menonjolkan komponen kemanusiaan dan keserantauan dalam program mobiliti ini.
Suasana lebih santai namun tetap bermakna tercipta apabila para peserta mobiliti turut menyertai program FIST Fun Bowling Day 2025, iaitu acara FSTI yang menghimpunkan warga fakulti dalam suasana riadah. Penyertaan pelajar antarabangsa dari UNISA dan KazNARU dalam acara ini membuka ruang interaksi tidak formal bersama pengurusan fakulti, pensyarah dan staf, sekali gus mengukuhkan jaringan akademik dalam konteks yang lebih santai dan mesra. Kehadiran Dekan FSTI, Prof. Madya Dr. Aizi Nor Mazila, bersama barisan pengurusan fakulti menambah semarak suasana kekitaan yang menjadi asas hubungan antarabangsa UMPSA. Melalui aktiviti riadah dan sesi cabutan bertuah, peserta berpeluang mengenali warga FSTI dengan lebih dekat sambil menikmati pengalaman yang memperkukuh persefahaman budaya serta memperluas hubungan akademik secara semula jadi.
Salah satu komponen utama program ini ialah penganjuran International Green BioInnovation Talk Series, yang diuruskan sepenuhnya oleh pelajar kursus BSB3593 sebagai latihan pembelajaran berpusatkan pelajar (SCL) dan sejajar dengan pendekatan Outcome-Based Education (OBE). Seminar ini memberi peluang kepada pelajar untuk mendalami aplikasi biosensor dalam industri, menilai isu kelestarian bioekonomi, serta meningkatkan kemahiran komunikasi saintifik melalui pembentangan profesional. Penceramah jemputan yang hadir termasuk Encik Munir Ashim Abdullah dari Grasicili PLT, Prof. Madya Dr. Mohd Khalizan Sabullah dari Universiti Malaysia Sabah, dan Cik Annisa Khumaira dari UNISA, dengan setiap sesi membawa perspektif baharu mengenai keusahawanan teknologi hijau, potensi phytomining di Malaysia, dan inovasi fermentasi bioteknologi.
Nilai budaya dan kemanusiaan turut menjadi tunjang program melalui pelaksanaan CSR Antarabangsa bertemakan “Kita Serumpun: Budaya & Sajian Kasih Dua Benua” di RPTAR Pekan. Aktiviti seperti bengkel pembuatan tempeh, demonstrasi masakan Indonesia, pengenalan kuih tradisional Melayu, seni batik serumpun dan permainan tradisional mencetuskan ruang pertukaran budaya yang memperhalus pemahaman antara peserta dan komuniti setempat. Interaksi sebegini memperkukuh empati, memupuk semangat kesukarelawanan dan menyemai nilai persaudaraan antara dua negara serumpun.
Kejayaan penganjuran Program Blended Mobility ini tidak terhasil tanpa sokongan daripada pengurusan FSTI. Antara yang turut terlibat ialah Dekan FSTI, Prof. Madya Dr. Aizi Nor Mazila binti Ramli, Timbalan Dekan Akademik dan Antarabangsa, Ts. Dr. Hanida binti Abdul Aziz, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Ts. Dr. Muhammad Hafiz bin Mazwir, serta Ketua Program Bioteknologi Industri, Dr. Nazira binti Mahmud. Pelaksanaan aktiviti turut dibantu oleh Jawatankuasa Program Mobiliti Berkredit FSTI, Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains dan Teknologi Industri (SCITEXS), pensyarah program Bioteknologi Industri dan pelajar-pelajar kursus BSB3593.
Secara keseluruhannya, Program Blended Mobility bersama UNISA membuktikan komitmen berterusan FSTI dan UMPSA dalam menyediakan pengalaman pembelajaran holistik yang merentas disiplin, budaya dan nilai kemanusiaan. Inisiatif ini dijangka terus diperkukuh pada masa hadapan sebagai sebahagian daripada usaha universiti memperluas kolaborasi akademik, meningkatkan penyertaan pelajar antarabangsa dan menonjolkan peranan UMPSA sebagai institusi pendidikan serantau yang unggul.
