LAWATAN SAMBIL BELAJAR MRSM ATM BERA KE UMPSA
LAWATAN SAMBIL BELAJAR MRSM ATM BERA KE UMPSA
20 Februari 2025 - Seramai 108 orang pelajar dari Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) ATM Bera bersama guru pengiring telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). Lawatan ini bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada para pelajar mengenai bidang STEM dan TVET serta memberikan pengalaman dalam aktiviti akademik.
Lawatan ini dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh penyelaras program, Norwahida Yaakub. Seterusnya, sesi promosi program telah dikendalikan oleh ketua-ketua program dari empat program, iaitu Teknologi Bahan, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Bioteknologi Industri dan Kimia Industri. Melalui sesi ini, para pelajar didedahkan dengan pelbagai peluang pengajian yang boleh mereka ceburi di masa hadapan.
Setiap fakulti menerima dua kumpulan untuk sesi pembelajaran dan eksperimen interaktif.
Program Teknologi Bahan - didedahkan kepada hukum kedua Newton melalui demonstrasi bagi memahami konsep daya, jisim dan pecutan. Selain itu, mereka juga berpeluang mengenali teknik Ujian Tanpa Musnah (Non-Destructive Testing - NDT), yang digunakan secara meluas dalam industri untuk mengesan kecacatan bahan tanpa merosakkan struktur asalnya.
Program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan - didedahkan kepada penggunaan alat pernafasan kendiri (Self-Contained Breathing Apparatus - SCBA) dalam situasi kecemasan serta peralatan pemantauan faktor persekitaran tempat kerja seperti Sound Level Meter (SLM), Dosimeter, Wet Bulb Globe Temperature (WBGT) dan Lux Meter. Sesi ini memberikan pemahaman tentang kepentingan aspek keselamatan dan kesihatan dalam industri.
Program Bioteknologi Industri - sampel di bawah mikroskop bagi memahami struktur mikroorganisma. Selain itu, melakukan aktiviti ekstraksi DNA daripada pisang dan pemerhatian kultur tisu tumbuhan, yang merupakan teknik penting dalam penyelidikan bioteknologi.
Program Kimia Industri memperkenalkan teknik kromatografi lapisan nipis bagi memisahkan pewarna makanan serta kaedah spektrofotometri UV untuk menentukan kandungan vitamin C dalam jus. Aktiviti ini memberi peluang kepada para pelajar untuk memahami aplikasi kimia dalam industri pemakanan dan farmaseutikal.
Secara keseluruhannya, lawatan sambil belajar ini telah memberikan pengalaman yang sangat berharga kepada para pelajar dalam memahami aplikasi sains dan teknologi dalam bidang masing-masing.
Disediakan oleh,
Penyelaras PJIM