PROGRAM LATIHAN KESELAMATAN, KESIHATAN DAN KESIAPSIAGAAN KECEMASAN UNTUK PEKERJA HOTEL DAN RESORT DILAKSANAKAN DENGAN JAYANYA
PROGRAM LATIHAN KESELAMATAN, KESIHATAN DAN KESIAPSIAGAAN KECEMASAN UNTUK PEKERJA HOTEL DAN RESORT DILAKSANAKAN DENGAN JAYANYA Kuantan, 7 Ogos 2025 – Alhamdulillah, Program Latihan Amalan Keselamatan, Kesihatan dan Kesiapsiagaan Kecemasan di Tempat Kerja bagi Pekerja Hotel dan Resort telah berjaya dilaksanakan dengan penyertaan lebih 100 orang peserta dari kalangan pekerja hotel dan resort sekitar Pahang serta kakitangan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK). Program ini telah dianjurkan dengan kerjasama antara Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) melalui Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI) dan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) di bawah pembiayaan Geran Inovasi Sosial dan Pemindahan Ilmu Komuniti (CDU240148). Latihan dijalankan di Dewan Seminar Lestari, MBK, bermula seawal jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang. Program ini telah dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Kawalan Perniagaan Dan Perkhidmatan Perbandaran, MBK, Puan Norkamawati binti Kamal. Sebanyak tujuh (7) orang pensyarah daripada Program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH), FSTI UMPSA telah terlibat sebagai penceramah dan fasilitator dalam menyampaikan tiga (3) modul latihan yang merangkumi aspek keselamatan di tempat kerja, amalan kesihatan yang baik serta kesiapsiagaan menghadapi kecemasan. Pensyarah-pensyarah terlibat ialah Ts. Dr. Wan Zaiton binti Wan Sulaiman merangkap pengarah program latihan, Dr. Mohd Najib Bin Yacob, Dr. Nurud Suria Binti Suhaimi, Dr. Khairiah Binti Mohd Mokhtar, Profesor Madya Dr. Mohd Fadzil Bin Mohd Idris, Ts. Dr. Azizan Bin Ramli, dan Ts. Dr. Ahmad Soyuti Bin Haji Sabran. Objektif utama program ini adalah: 1. Meningkatkan kesedaran dan pengetahuan asas pekerja hotel dan resort terhadap amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH) yang berkualiti dan berkesan. 2. Meningkatkan tahap kesiapsiagaan kecemasan dalam kalangan pekerja supaya dapat bertindak pantas, selamat dan berkesan sekiranya berlaku insiden. 3. Menyokong budaya kerja selamat dan sihat secara berterusan dalam operasi perhotelan. Program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan penyertaan aktif daripada semua peserta. Sepanjang sesi latihan, para peserta memberikan komitmen yang tinggi dan kerjasama yang sangat baik – malah hingga ke sesi akhir program, dewan masih penuh dengan kehadiran peserta. Sebagai nilai tambah, peserta turut menerima sijil penyertaan elektronik (E-Cert) dan kemudahan makan pagi, makan tengah hari serta minum petang turut disediakan sepanjang program. Program ini juga telah mencapai sasaran minimum penyertaan sebanyak 100 orang, selari dengan objektif memperluas ilmu dan amalan keselamatan dalam komuniti industri pelancongan. Pihak penganjur merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang telah menjayakan program ini, termasuk pihak MBK melalui Encik Zunizuddin bin Shamsuddin (Ketua Bahagian Pelesenan) yang telah memberikan kerjasama mendapatkan peserta-peserta dari wakil-wakil hotel dan resort serta menyediakan dewan latihan. Tidak dilupakan juga para peserta dari hotel dan resort yang telah mengambil bahagian. #umpsasharing |