Kursus Penyelaras Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (atau OSH-Coordinator) beri pendedahan awal kepada bakal-bakal siswazah Program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Fakulti Sains dan Teknologi Industri
Pada 13 hingga 15 Julai 2023 yang lalu, telah berlangsungnya Kursus Penyelaras Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH-Coordinator) yang dianjurkan oleh Program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH), Fakulti Sains dan Teknologi Industri, Universiti Malaysia Pahang Al Sultan Abdullah (UMPSA). Kursus ini adalah dengan kerjasama Pusat Kerjaya UMPSA dan SHENVIRO HALL SDN.BHD. sebagai penyampai latihan. Tujuan utama kursus ini adalah untuk memberikan pendedahan awal kepada bakal-bakal siswazah Program OSH. Kursus ini telah melibatkan seramai 60 orang pelajar tahun 3 Program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) dari Fakulti Sains dan Teknologi Industri di UMPSA.
Kursus ini bertujuan menyediakan pengetahuan dan kemahiran asas yang diperlukan untuk menjadi pemimpin dan penyelaras dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Tambahan pula, ia dapat menghubungkan peserta dengan perunding industri yang berpengalaman untuk mendapatkan input yang relevan selain dapat mempelajari aspek penting dalam OSH dan bagaimana ia dapat diterapkan dalam setiap sektor industri. Kursus ini melibatkan pelbagai aktiviti yang dirangka dengan teliti untuk memberi pengalaman pembelajaran yang holistik kepada peserta. Beberapa aktiviti utama termasuklah kuliah dan taklimat; sesi diskusi dan pemikiran kritis; dan sesi Interaktif dengan Perunding Industri. Selain daripada itu, kursus ini juga melayakkan pelajar untuk berdaftar dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) sebagai Penyelaras Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH-Coordinator).
Diharapkan melalui kursus ini, pelajar Program OSH mendapat manfaat yang signifikan dalam memahami pentingnya keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam konteks industri. Disamping itu, ia dapat menimbulkan minat berterusan dan membuka minda dan perspektif pelajar untuk menceburkan diri dalam kerjaya di bidang industri keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
Anjuran Bersama Program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Fakulti Sains dan Teknologi Industri, SHENVIRO HALL SDN. BHD. dan Pusat Kerjaya UMPSA.
Berita disediakan oleh Dr. Noor Diana binti Abdul Majid, Pensyarah Kanan, Program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan FSTI.