FIST UMPSA

News & Events

Aktiviti SULAM Kursus BSP3173 Corrosion

19 November 2025 | SULAM FSTI

𝐀𝐊𝐓𝐈𝐕𝐈𝐓𝐈 𝐒𝐔𝐋𝐀𝐌 𝐊𝐔𝐑𝐒𝐔𝐒 𝐁𝐒𝐏𝟑𝟏𝟕𝟑 𝐂𝐎𝐑𝐑𝐎𝐒𝐈𝐎𝐍

Pada 19 November 2025, satu program Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) telah berjaya dilaksanakan oleh 30 orang pelajar kursus BSP3173 Corrosion, Program Teknologi Bahan, Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). Program ini juga melibatkan 6 orang staf FSTI dengan kerjasama pihak SMK Pelabuhan, Kuantan.

Tema “Tiada Korosi, Sekolahku Lestari” yang berkonsepkan 'Pendidikan Pencegahan Pengaratan Logam' telah dipilih. Tujuan utama tema ini adalah untuk menekankan kepentingan memahami mekanisma korosi dan langkah pencegahan bagi menjaga kelestarian persekitaran dan infrastruktur sekolah. Program ini juga bertujuan untuk membuka ruang pemikiran pelajar terhadap bidang STEM, meningkatkan literasi saintifik dan minat pelajar sekolah terhadap bidang Sains Bahan.

Seramai 60 orang pelajar Tingkatan 3 yang sedang membuat pilihan aliran Tingkatan 4 telah menyertai aktiviti ini. Pelaksanaan aktiviti dibuat secara interaktif melalui ceramah ringkas dan pendekatan station-based learning, di mana pelajar bergerak mengikut stesen eksperimen yang disediakan. Terdapat enam stesen utama iaitu Galvanic Couple, Rust in Minutes, Lapisan Pelindung, Electroplating, Art Karat dan Kesan Tahap Keasidan (pH) Terhadap Kadar Pengaratan.

Setiap stesen memfokuskan kepada konsep asas korosi melalui eksperimen yang menarik. Sebagai contoh, stesen Galvanic Couple mempamerkan peranan elektrokimia dalam mempercepat atau mengurangkan pengaratan, manakala stesen Rust in Minutes dan tahap keasidan (pH) menunjukkan pengaruh persekitaran terhadap kadar pengaratan. Stesen Lapisan Pelindung pula membantu pelajar melihat kaedah perlindungan permukaan menggunakan lapisan minyak, sementara Art Karat menggunakan mikroskop untuk melihat permukaan logam yang mengalami proses pengoksidaan seperti patina.

Sepanjang program, pelajar sekolah SMK Pelabuhan menunjukkan penglibatan yang sangat aktif. Mereka bukan sahaja mengikuti demonstrasi, malah turut mencuba sendiri eksperimen yang disediakan. Pelajar sekolah diberi kuiz untuk menguji kefahaman dan secara tidak lansung meningkatkan rasa ingin tahu mereka mengenai bidang korosi serta aplikasi sains bahan dalam dunia sebenar. Secara keseluruhan, aktiviti yang dijalankan telah berjaya mencapai matlamat pendidikan SULAM dengan menghubungkan ilmu universiti kepada komuniti sekolah dalam bentuk pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan dan bermakna.

Program ini diharapkan dapat menyemai minat pelajar terhadap bidang STEM. Seterusnya, kerjasama erat antara UMPSA dan SMK Pelabuhan juga diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan melalui penganjuran lebih banyak program pendidikan yang bermanfaat untuk pelajar, sekolah dan komuniti setempat.

#umpsasharing

#UMPSAMalaysia

#StudyAtUMPSA

#jommasukfistumpsa

#fistumpsa

#fstiumpsa

#scitexs

#UMPSA

Image
— Contact
Faculty of Industrial Sciences and Technology, UMPSA
26300 Gambang
Pahang