Lawatan Industri Kursus BPS3673 ke Tapak ECRL Gebeng
14 Mei 2025 | FIST Lawatan Industri Gebeng
Lawatan Industri Kursus BPS3673 ke Tapak ECRL Gebeng
Pada 16 Mei 2025, satu program lawatan industri telah dilaksanakan oleh pensyarah dan para pelajar daripada Kursus BPS3673 Transportation Safety di bawah Program Sarjana Muda Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) ke tapak projek East Coast Rail Link (ECRL) di Seksyen 10, Gebeng. Lawatan ini dianjurkan sebagai sebahagian daripada pengajaran dan pembelajaran bagi kursus berkenaan, dengan objektif utama untuk mendedahkan pelajar kepada aplikasi sebenar sistem pengangkutan rel dari sudut pengurusan keselamatan, teknologi pembinaan landasan, serta kawalan operasi di tapak projek mega berskala nasional. Di samping itu, lawatan ini turut memberi peluang kepada pelajar untuk memahami secara lebih mendalam proses pemasangan landasan, kawalan risiko pembinaan, serta prosedur keselamatan tapak yang dilaksanakan oleh pihak kontraktor dan pengendali ECRL.
Program dimulakan pada jam 9.00 pagi dengan sesi taklimat keselamatan dan pembentangan pengenalan projek oleh wakil ECRL. Seterusnya, pelajar dibawa meninjau ke Pusat Kawalan CROCC bagi mendalami proses kerja pemasangan landasan (track laying work), sebelum melawat tapak Long Welded Rail (LWR) dan Stesen KPC untuk melihat sendiri pelaksanaan sistem dan struktur rel di lapangan. Secara keseluruhan, lawatan ini telah memberikan nilai tambah yang signifikan kepada pengetahuan pelajar dari sudut praktikal, sekaligus mengukuhkan pemahaman mereka terhadap aspek keselamatan dan pengurusan dalam industri pengangkutan rel negara.