LAWATAN INDUSTRI PELAJAR BSK KE AJINOMOTO MALAYSIA BERHAD BUKA MATA TERHADAP APLIKASI KIMIA INDUSTRI DALAM PEMBUATAN MAKANAN
LAWATAN INDUSTRI PELAJAR BSK KE AJINOMOTO MALAYSIA BERHAD BUKA MATA TERHADAP APLIKASI KIMIA INDUSTRI DALAM PEMBUATAN MAKANAN
Negeri Sembilan, 29 Mei 2025 – Seramai 37 orang pelajar daripada Program Sarjana Muda Sains Gunaan Kimia Industri dengan Kepujian (BSK), Fakulti Sains dan Teknologi Industri, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), telah mengadakan lawatan industri ke Ajinomoto (Malaysia) Berhad di Negeri Sembilan.
Lawatan ini bertujuan memberi pendedahan secara langsung kepada pelajar mengenai aplikasi kimia industri dalam penghasilan bahan perisa dan makanan berasaskan teknologi fermentasi. Pelajar berpeluang menyaksikan sendiri operasi kilang, sistem kawalan kualiti, serta amalan keselamatan makanan yang diamalkan oleh syarikat berkenaan.
Lawatan ini diiringi oleh pensyarah pengiring, Dr. Nazikussabah Zaharudin, yang menyatakan bahawa lawatan ini merupakan salah satu inisiatif penting dalam menghubungkan pembelajaran teori di universiti dengan amalan sebenar dalam industri makanan dan bioteknologi.
Sepanjang lawatan, para pelajar diberikan taklimat terperinci oleh Tuan Norazmi Mohamad, wakil Ajinomoto Malaysia Berhad, yang berkongsi tentang sejarah syarikat, proses pengeluaran Monosodium Glutamate (MSG), serta komitmen Ajinomoto terhadap kelestarian dan keselamatan pengguna.
Menariknya, para pelajar turut disajikan dengan sesi demonstrasi masakan yang menggunakan produk Ajinomoto sebagai ramuan utama. Sesi ini bukan sahaja menarik perhatian pelajar, tetapi juga memberi gambaran jelas tentang bagaimana produk syarikat digunakan secara praktikal dalam penyediaan makanan harian. Selepas itu, pelajar turut dihidangkan dengan pelbagai juadah yang dimasak menggunakan bahan-bahan keluaran Ajinomoto.
Menurut salah seorang pelajar yang menyertai lawatan, pengalaman ini sangat bermanfaat kerana bukan sahaja memperlihatkan aplikasi kimia dalam industri makanan, malah memberi inspirasi untuk meneroka peluang kerjaya dalam sektor pemprosesan makanan dan teknologi fermentasi.
Fakulti merakamkan penghargaan kepada pihak Ajinomoto Malaysia Berhad atas layanan mesra, perkongsian ilmu yang bermakna serta pengalaman industri yang ditawarkan kepada para pelajar sepanjang lawatan ini.