Lawatan ke Kampung Pagi, Jerantut, Pahang.
Seramai empat orang staf daripada FSTI; Dr Azizan, Dr Adila, Dr ‘Azyyati, dan Dr Kamrul telah mengadakan lawatan ke Kampung Pagi, Jerantut, Pahang. Tujuan utama lawatan ke Kg. Pagi adalah untuk membuat sesi rakaman dan temuramah mengenai proses pembuatan ‘asam rong’ dan masakan berasaskan asam rong, yang akan digunakan untuk sesi ‘Virtual Tour’ bagi program ‘International Science-Culture Workshop’ anjuran bersama Universitas ‘Aisyiyah Yogyakarta (UNISA), Indonesia yang akan diadakan pada 22-25 Ogos 2022.
Menurut pengusaha asam rong di Kampung Pagi, En. Rafi bin Ab Rashid dan isterinya Puan Armila binti Azran, asam rong merupakan makanan tradisional yang sangat popular di kalangan masyarakat di daerah Jerantut, Pahang serta di kawasan sekitarnya. Asam rong diperbuat daripada biji getah melalui beberapa proses pengeringan untuk dijadikan ‘asam rong’. Biji getah yang gugur daripada pokok getah yang matang dikutip dan dijemur dibawah cahaya matahari selama beberapa hari bagi memudahkan proses pemecahan kulit biji getah yang keras untuk mendapatkan isinya yang berwarna putih. Isinya kemudian dijemur selama lebih kurang satu minggu bergantung kepada tahap kekeringannya. Setelah kering, isi biji getah tersebut dikisar sehingga halus dan diperam di dalam bekas yang tertutup rapi dan sedia untuk dimasak. Asam rong ini boleh disimpan selama beberapa tahun tanpa rosak walaupun tidak disimpan di dalam peti sejuk.
Sesi temuramah dan rakaman video mengenai proses pembuatan dan masakan berasaskan asam rong telah dibuat bersama Puan Nur Amalina binti Azran.
Gambar-gambar Aktiviti:-
Laporan disediakan oleh Dr. Nor Adila Mhd Omar, Pensyarah FSTI