UMPSA dan CLSU Jayakan COAR 2025 Fokus Perkongsian Ilmu dalam Bioteknologi dan Pertanian
Gambang, 17 Jun 2025 – Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah berjaya menganjurkan Kolokium Akademik dan Penyelidikan Kali Ke-5 (COAR 2025) dengan kerjasama College of Fisheries, Central Luzon State University (CLSU), Filipina. Program ini merupakan kesinambungan kepada siri kolokium COAR yang telah berlangsung sejak tahun 2021 sebagai inisiatif pemerkasaan jaringan akademik dan penyelidikan antarabangsa.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Profesor Madya Dr. Aizi Nor Mazila binti Ramli, Dekan FSTI, UMPSA, dengan mengalu-alukan kehadiran Professor Dr. Ravelina R. Velasco, Timbalan Presiden Hal Ehwal Akademik CLSU, dan Associate Professor Dr. Hazel Monica Matias-Peralta, Pemangku Dekan College of Fisheries, CLSU selaku rakan penganjur utama program. COAR 2025 yang bertemakan “Sustainable Biotechnology for Food Security” ini memberi tumpuan kepada usaha penyelidikan dan pendidikan dalam bioteknologi pertanian yang relevan dengan cabaran keselamatan makanan global.
Program ini menghimpunkan penyelidik dan ahli akademik dari kedua-dua universiti dengan kehadiran penceramah jemputan dari CLSU iaitu Associate Professor Dr. Franz Marielle Garcia, Pengarah Crop and Resources Research and Development Center (CRRDC), Associate Professor Dr. Joel Juvinal, Ketua Jabatan Food Science and Technology, dan Professor Dr. Rich Milton Dulay, Ketua Center for Tropical Mushroom Research and Development (CTMRD).
Manakala FSTI UMPSA turut menampilkan penyelidik berpengalaman termasuk Professor Madya Dr. Nina Suhaity Binti Azmi, Dr. Mohd Fazli Bin Farida Asras, dan Dr. Nazira Mahmud selaku ketua Program Bioteknologi Industri. Program ini telah dihadiri oleh sekurang-kurangnya 120 orang peserta yang terdiri daripada pelajar-pelajar dan penyelidik daripada kedua-dua institusi.
Menurut pengarah program, Dr. Tan Suat Hian, kerjasama ini bukan sahaja memperkukuh hubungan dua hala UMPSA dan CLSU, malah turut membuka ruang kepada pelaksanaan program pertukaran pelajar, latihan industri antarabangsa, aktiviti Bilik Darjah Global (Global Classroom) serta pembangunan projek penyelidikan bersama bertaraf antarabangsa.
COAR 2025 juga menjadi medan strategik dalam menyokong pelaksanaan Teras Strategik UMPSA 2021–2025 iaitu Graduan Holistik (1A), Penjanaan Pengetahuan Baharu (3A), dan Pengantarabangsaan Mahasiswa (6A).
Penganjuran COAR sebelum ini turut melibatkan kerjasama antarabangsa bersama institusi seperti Federal University of Minas Gerais, Brazil (2021), Universitas Airlangga, Indonesia (2022), University of The Philippines Diliman (2023) dan Universitas Negeri Malang (2024).
UMPSA melalui FSTI terus komited memperluas jaringan global dan membangunkan kapasiti akademik serta penyelidikan selaras dengan aspirasi universiti ke arah kecemerlangan antarabangsa.