FIST UMPSA

News & Events

KHIDMAT CSR SEMPENA MINGGU STEM DI SEKOLAH KEBANGSAAN INDERA MAHKOTA UTAMA

KHIDMAT CSR SEMPENA MINGGU STEM DI SEKOLAH KEBANGSAAN INDERA MAHKOTA UTAMA

Indera Mahkota, 24 April 2024 – Sempena sambutan Minggu STEM, satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) telah berlangsung dengan jayanya di Sekolah Kebangsaan Indera Mahkota Utama dari jam 8:30 pagi hingga 1:00 tengahari. Program ini dianjurkan dengan kerjasama Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) melalui penglibatan Fakulti Komputeran, Fakulti Sains dan Teknologi Industri, dan Pusat TVET Termaju.

Majlis dimulakan dengan ucapan aluan daripada Guru Besar SK Indera Mahkota Utama, Puan Norzaibasima binti Badarudin, yang mengalu-alukan kehadiran tetamu jemputan dan menghargai usaha semua pihak yang terlibat. Ucapan seterusnya disampaikan oleh wakil rasmi UMPSA, En. Zainuddin bin Mat Husin, yang menekankan kepentingan memupuk minat pelajar terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sejak dari bangku sekolah rendah

Pelbagai aktiviti interaktif dan menyeronokkan telah dianjurkan oleh wakil-wakil program dari Fakulti Sains dan Teknologi Industri. Program Teknologi Bahan yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Mohamad Ashry bin Jusoh, bersama Dr. Rodziah binti Nazlan, Puan Nabilah binti Alias, dan Puan Siti Aisah binti Harun, telah memperkenalkan pelajar kepada beberapa konsep asas Fizik melalui pendekatan yang praktikal dan menarik. Antara aktiviti yang dijalankan termasuk demonstrasi Hukum Newton Ketiga melalui pelancaran roket belon, penerangan mengenai Hukum Lorentz melalui motor homopolar, serta konsep prinsip sifon untuk memindahkan cecair dari satu bekas ke bekas lain. Aktiviti-aktiviti ini bukan sahaja memberikan pelajar pengalaman secara langsung, malah turut berjaya memupuk rasa ingin tahu dan minat mendalam terhadap sains.

Sementara itu, ahli Program Kimia Industri iaitu Dr. Mohd Fadhlizil Fasihi bin Mohd Aluwi, Ts. Dr. Siti Noor Hidayah binti Mustapha, ChM. Dr. Wan Norfazilah binti Wan Ismail, dan En. Roonie telah menjalankan aktiviti menarik dengan aktiviti "dakwat lutsinar" berdasarkan prisip tindakbalas kimia asid-alkali menggunakan kunyit (sumber asid) dan serbuk bikarbonat (sebagai alkali). Selain itu, aktiviti melibatkan prinsip elektrokimia menggunakan buah limau bagi menghasilkan arus elektrik juga dilaksanakan. Pelajar turut diajar dan terlibat dalam aktiviti "LEGO SAINS" untuk membina struktur kimia asas secara kreatif. Melalui pendekatan ini, pelajar didedahkan kepada asas-asas kimia secara interaktif, menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan dan mudah difahami. Aktiviti lain yang turut dijalankan adalah aktiviti telur terapung dalam air berisi garam dan tenggelam dalam air biasa, yang membantu pelajar memahami konsep bagaimana ketumpatan mempengaruhi kemampuan objek untuk terapung atau tenggelam dalam cecair.

Program Bioteknologi Industri pula menampilkan penggunaan mikroskop, membolehkan pelajar meneroka dunia mikro yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Aktiviti ini dikendalikan oleh Dr. Nurul ‘Azyyati binti Sabri Sabri, Dr. Nor Hasmaliana binti Abdul Manas, Dr. Normaiza binti Zamri, dan Dr. Hong Pui Khoon, dan telah berjaya menarik minat pelajar untuk mengenali lebih dekat dunia biologi. Selain itu, pemahaman terhadap kepentingan pemakanan sayur-sayuran di kalangan kanak-kanak juga diterapkan melalui slot ‘Veggie Superheroes’ di mana pelajar diperkenalkan dengan empat jenis sayur-sayuran beserta khasiat nutrisi yang diterangkan menerusi penceritaan ‘superpowers’ untuk menarik minat pelajar.

Jelas kelihatan keterujaan para pelajar sekolah rendah terhadap aktiviti berkaitan sains, namun berdasarkan pemerhatian dan dapatan tidak rasmi, minat ini cenderung merosot apabila mereka melangkah ke peringkat sekolah menengah. Fenomena ini membimbangkan dan perlu ditangani dengan serius.

Sehubungan itu, pihak institusi pendidikan disarankan agar lebih kerap turun padang untuk memberi pendedahan awal yang menyeronokkan dalam bidang STEM kepada pelajar sekolah. Sokongan padu daripada pihak pengurusan juga amat penting bagi menggalakkan para staf akademik menyumbang tenaga dan kepakaran dalam program berbentuk khidmat masyarakat sebegini.

Sebagai pensyarah, penyertaan dalam program ini sejajar dengan peranan universiti dalam menyumbang kepada pembangunan pendidikan masyarakat melalui pemindahan ilmu secara langsung. Aktiviti seperti ini memberi pensyarah peluang untuk mengaplikasikan pengetahuan mereka di luar bilik kuliah dan memberi manfaat langsung kepada komuniti.

Selain itu, program ini juga memberi nilai tambah kepada pengalaman pengajaran dan kemahiran komunikasi pensyarah dalam berinteraksi dengan pelbagai peringkat audiens, dari pelajar sekolah rendah hingga ke masyarakat umum. Keupayaan pensyarah untuk menyampaikan konsep-konsep sains yang rumit dengan cara yang mudah difahami dan menyeronokkan adalah kemahiran yang sangat berharga dalam dunia pendidikan.

Program ini juga membantu meningkatkan reputasi universiti dalam kalangan masyarakat luar dan sekolah, serta menunjukkan keprihatinan institusi terhadap pembangunan komuniti. Melalui penglibatan dalam program CSR sebegini, UMPSA tidak hanya menunjukkan kepakaran akademik tetapi juga komitmen dalam memperkasakan pendidikan di luar lingkungan kampus.

Program berakhir pada jam 1:00 tengah hari dengan penuh harapan agar inisiatif kerjasama ini dapat diteruskan dan diperluaskan, demi melahirkan generasi yang lebih peka terhadap sains dan memiliki daya saing yang lebih kukuh pada masa depan.

Image
— Contact
Faculty of Industrial Sciences and Technology, UMPSA
26300 Gambang
Pahang