LAWATAN PENANDA ARAS DAN PERBINCANGAN KOLABORASI AKADEMIK & PENYELIDIKAN ANTARA UiTM KAMPUS BUKIT BESI DAN UMPSA
24 April 2025 | UMPSA Kampus Gambang
LAWATAN PENANDA ARAS DAN PERBINCANGAN KOLABORASI AKADEMIK & PENYELIDIKAN ANTARA UiTM KAMPUS BUKIT BESI DAN UMPSA
Program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menerima kunjungan lawatan penanda aras daripada Universiti Institut Teknologi MARA (UiTM) Kampus Bukit Besi. Lawatan yang berlangsung dari jam 10.00 pagi hingga 2.30 petang. Program ini melibatkan seramai 12 orang staf UiTM, bersama pensyarah serta staf teknikal daripada UMPSA.
Tujuan utama lawatan ini adalah untuk membincangkan penanda aras Program Diploma Teknologi Higen Industri (UiTM) dengan Program Diploma Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (UMPSA), selain memperkukuhkan hubungan akademik serta membina jaringan kerjasama strategik antara kedua-dua institusi.
Aktiviti dimulakan dengan taklimat oleh Ketua Program DRO, Dr. Nurud Suria binti Suhaimi mengenai struktur program, pengajaran dan aktiviti pelajar. Sesi perbincangan menumpukan kepada penilaian pendekatan akademik dan teknikal kedua-dua program serta peluang kerjasama penyelidikan dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Delegasi turut melawat Makmal Higen Industri sebagai sebahagian daripada lawatan ke fasiliti pengajaran UMPSA.
Lawatan ini diharapkan dapat menjadi titik permulaan kepada jalinan kerjasama yang lebih erat antara UiTM Kampus Bukit Besi dan UMPSA, khususnya dalam bidang akademik, penyelidikan serta pembangunan profesional. Pertukaran pandangan dan pengalaman yang dikongsi sepanjang sesi perbincangan diyakini mampu memperkukuh mutu pelaksanaan program di kedua-dua institusi. Semoga hubungan strategik ini dapat diteruskan melalui pelbagai inisiatif bersama yang memberi manfaat kepada pelajar, pensyarah dan komuniti akademik secara keseluruhannya.