FIST UMPSA

News & Events

MAJLIS MENANDATANGANI MoU DAN PELUNCURAN PROJEK KOMUNITI BERINTEGRASI: MEMPERKASA KOMUNITI MELALUI APLIKASI BIOTEKNOLOGI DAN FERTIGASI

MAJLIS MENANDATANGANI MoU DAN PELUNCURAN PROJEK KOMUNITI BERINTEGRASI: MEMPERKASA KOMUNITI MELALUI APLIKASI BIOTEKNOLOGI DAN FERTIGASI

Pekan, Pahang | 4 Julai 2025

Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) terus memperkukuh peranannya sebagai universiti teknikal berteraskan komuniti menerusi Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Peluncuran Projek Komuniti Berintegrasi bersama Rumah Penyayang Tun Abdul Razak (RPTAR), yang telah berlangsung dengan penuh gemilang pada 4 Julai 2025 di Pekan, Pahang.

Majlis ini menandakan pelancaran rasmi salah satu daripada empat projek kolaboratif antara UMPSA dan RPTAR, yang melibatkan penyertaan pelbagai fakulti dalam usaha memperkasa komuniti melalui pendekatan rentas disiplin meliputi bidang teknologi, pendidikan dan keusahawanan. Bagi pihak Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), projek yang diketuai oleh Prof. Madya Dr. Nina Suhaity Azmi bertajuk “Memperkasakan Komuniti Penghuni Rumah Penyayang Tun Abdul Razak & B40 di Pekan, Pahang dengan Pengaplikasian Bioteknologi dan Sistem Fertigasi dalam Pertanian” menjadi antara inisiatif utama yang dilaksanakan.

Projek ini melibatkan kerjasama erat bersama ahli projek Prof. Madya Dr. Aizi No Mazila Ramli serta penyertaan aktif pelajar pascasiswazah iaitu Mohd Faizulnazrie dan Sakina Shabudin, di samping sokongan teknikal dan lapangan oleh pelajar-pelajar projek tahun akhir FSTI, Liew Chow Yik, Ahmad Hazim bin Abdul Rashid, Amelin Othman dan Muhammad Fakhrullah bin Kamarol Laili serta pelajar-pelajar latihan industri iaitu Mahendran Ravindran, Ching Zhi Wei dan Muhammad Amirun bin Noh. Beberapa modul latihan dan hands-on telah diperkenalkan kepada komuniti RPTAR, merangkumi pengajaran sistem pertanian moden seperti hidroponik, fertigasi meja dan fertigasi terbuka serta sistem akuakultur kitar semula (Recirculating Aquaculture System – RAS). Pendekatan ini bertujuan memberi pendedahan praktikal serta meningkatkan keupayaan komuniti dalam menjana sumber makanan secara mampan dan berteknologi.

Majlis telah disempurnakan oleh Dato’ Sahlan Ismail, Ahli Lembaga Pengarah RPTAR, dan disaksikan oleh YB Dato’ Nizar Razak. Turut hadir memeriahkan majlis ialah Encik Abdul Munir, Ahli Lembaga Pengarah RPTAR; Prof. Ts. Dr. Aida Mustapha, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), serta Prof. Ir. Dr. Chin Sim Yee, Pengarah Pusat Jaringan Industri dan Masyarakat (PJIM), UMPSA.

Projek komuniti berintegrasi ini bukan sekadar satu bentuk pemindahan teknologi, malah menjadi platform penting bagi menyemai nilai keusahawanan, keterlibatan sosial dan kelestarian makanan dalam kalangan komuniti B40 dan penghuni Rumah Penyayang Tun Abdul Razak. Secara langsung, projek ini menyahut seruan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 1: Tiada Kemiskinan, SDG 2: Tiada Kelaparan, dan SDG 11: Komuniti dan Bandar yang Lestari, di samping menyumbang ke arah pengukuhan sekuriti makanan (food security) menerusi pengeluaran makanan secara kendiri, berteknologi dan mampan.

Inisiatif ini membuktikan kesungguhan UMPSA dalam memacu transformasi komuniti melalui sinergi akademia dan masyarakat ke arah kesejahteraan bersama.

#UMPSA #FISTUMPSA #RPTAR #CDU230108 #KolaborasiUMPSA #Bioteknologi #UrbanFarming #Fertigasi #Akuakultur #Pekan #CSR #UniversitiUntukKomuniti #SDG #FoodSecurity #DariMakmalKeKomuniti #CommunityEmpowerment #KlevaBiofertilizer

Image
— Contact
Faculty of Industrial Sciences and Technology, UMPSA
26300 Gambang
Pahang