FIST UMPSA

News & Events

Mesyuarat Penilai Luar (EA) Program Sarjana Muda Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dengan Kepujian (BPS), Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI)

Pada 15 Oktober 2025, telah berlangsung Mesyuarat Bersama Penilai Luar (External Assessor, EA) bagi Program Sarjana Muda Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dengan Kepujian (BPS) di Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI). Penilai Luar bagi Program BPS ialah Prof. Madya Dr. Rosli Abdul Rahman, Dekan Fakulti Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Universiti Cyberjaya, yang merupakan salah seorang panel penggubal Standard Program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan MQA serta mempunyai pengalaman luas sebagai panel penilai audit MQA.

Mesyuarat ini turut dihadiri oleh barisan kepimpinan fakulti serta pensyarah-pensyarah Program BPS. Sesi yang bermula pada pukul 9.00 pagi dimulakan dengan sesi perkenalan dan pembentangan latar belakang universiti serta fakulti oleh Ts. Dr. Hanida Abdul Aziz, Timbalan Dekan (Akademik dan Pengantarabangsaan) yang mewakili Dekan FSTI. Seterusnya, Dr. Mohd Shahril Abu Hanifah, Ketua Program BPS, memperkenalkan secara ringkas struktur dan pelaksanaan program kepada pihak EA.

Mesyuarat diteruskan dengan pembentangan tindakan susulan hasil Mesyuarat EA terdahulu, diikuti penilaian dokumen program oleh EA, sesi temu bual bersama pensyarah dan pelajar, serta lawatan ke makmal dan fasiliti pengajaran yang digunakan oleh program. Mesyuarat berakhir dengan pembentangan hasil dapatan penilaian dan maklum balas daripada EA. Pihak Program BPS amat berbesar hati dan berterima kasih atas kesudian pihak EA meluangkan masa serta memberikan pandangan bernas dalam usaha memastikan program ini terus berada pada landasan terbaik selaras dengan kehendak industri dan MQA.

Image
— Contact
Faculty of Industrial Sciences and Technology, UMPSA
26300 Gambang
Pahang