Mesyuarat Perbincangan Bersama Panel Penasihat Industri (IAP) Program Sarjana Muda Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dengan Kepujian (BPS), Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), UMPSA
Mesyuarat Perbincangan Bersama Panel Penasihat Industri (IAP) Program Sarjana Muda Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dengan Kepujian (BPS), Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), UMPSA
UMPSA Gambang - Pada 25 September 2024 yang lalu, mesyuarat bersama Panel Penasihat Industri (IAP) bagi Program Sarjana Muda Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dengan Kepujian (BPS), Fakulti Sains dan Teknologi Industri telah diadakan secara atas talian. Panel Penasihat Industri (IAP) bagi Program BPS adalah terdiri daripada En. Khairul Rizal Jamaludin dari Kunang Ace Energy Sdn Bhd dan En Mohd Shahrizan Mohd Akhir dari Prasarana Malaysia Berhad. Mesyuarat ini adalah mesyuarat tahunan yang bertujuan untuk mendapatkan pandangan industri berkaitan relevansi program, dan sama ada kursus yang ditawarkan adalah bersesuaian dengan kehendak industri.
Mesyuarat yang bermula pada pukul 2.00 petang telah dihadiri oleh ahli pengurusan tertinggi FSTI dan pensyarah-pensyarah program BPS. Majlis yang dipengerusikan oleh Timbalan Dekan Akademik dan Hal Ehwal Pelajar, Ts. Dr. Hanida Abdul Aziz ini telah dimulakan dengan ucapan aluan dan pembentangan slaid pengenalan FSTI. Majlis seterusnya disambung dengan pembentangan slaid pengenalan dan struktur program Sarjana Muda Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Dengan Kepujian oleh Ketua Program BPS, Dr. Mohd Shahril Abu Hanifah. Pembentangan ini meliputi pemakluman kandungan struktur kurikulum terkini dan kandungan struktur baharu berdasarkan Program Standard Occupational Safety and Health (OSH) 2023.
Majlis diteruskan dengan lawatan makmal secara atas talian diikuti oleh perbincangan dua hala bersama panel-panel berkenaan komen dan cadangan terhadap kandungan struktur program. Input-input yang diberikan diambil maklum dan akan dipertimbangkan bagi proses pemurnian dan penambahbaikan struktur program. Seusai sesi perbincangan, sesi penggulungan ucapan telah dilakukan oleh Timbalan Dekan Akademik dan Hal Ehwal Pelajar dan Ketua Program BPS berkenaan intipati hasil perbincangan yang telah dijalankan. Sebelum majlis berakhir, satu sesi fotografi telah diadakan dan majlis bersurai pada jam 4.10 petang.