LAWATAN INDUSTRI PELAJAR TEKNOLOGI BAHAN, FIST KE IOI PALM WOOD SDN BHD, SEGAMAT
LAWATAN INDUSTRI PELAJAR TEKNOLOGI BAHAN, FIST KE IOI PALM WOOD SDN BHD, SEGAMAT
Pada 21 April 2025, seramai 35 orang pelajar daripada program Teknologi Bahan telah mengadakan lawatan industri ke IOI Palm Wood Sdn Bhd, yang terletak di Segamat, Johor. Lawatan ini telah diiringi oleh dua orang pensyarah pengiring iaitu Ts. Dr. Nurjannah Salim dan Ts.Dr. Farah Hanani Zulkifili.
Rombongan pelajar telah disambut mesra oleh pihak syarikat, termasuk CEO IOI Palm Wood sendiri, Mr. Peter, R&D Engineer, Mr. Melvin, serta Production Engineer, En. Royzaib yang juga merupakan alumni program Teknologi Bahan. Penampilan alumni Teknologi Bahan di IOI Palm Wood ini, En Royzaib sebagai Production Engineer memberikan inspirasi kepada para pelajar serta membina semangat mereka dalam meneruskan kecemerlangan dalam bidang Teknologi Bahan.
Lawatan ini bertujuan untuk memberi pendedahan secara langsung kepada pelajar mengenai proses penghasilan panel berasaskan kayu daripada pokok kelapa sawit. Para pelajar telah diberi taklimat dan turut dibawa melawat ke fasiliti pengeluaran untuk melihat sendiri proses-proses yang terlibat dalam pembuatan panel tersebut.
IOI Palm Wood merupakan syarikat yang menekankan prinsip kelestarian (sustainability) dalam operasi mereka, termasuk dalam memanfaatkan semula bahan buangan dari industri kelapa sawit untuk menghasilkan produk bernilai tambah. Pendedahan ini amat berguna bagi pelajar dalam memahami aplikasi sebenar konsep teknologi bahan di industri serta kepentingan amalan mampan dalam pembangunan industri moden.
Secara keseluruhannya, lawatan ini telah memberi pengalaman yang sangat bermakna kepada para pelajar serta mengukuhkan lagi kefahaman mereka dalam bidang Teknologi Bahan khususnya dalam bidang komposit.