Sesi Co-lecturing Bagi Kursus BPS2123: OSHE Legislations dan Kursus BPS1213: OSH Legislations
Sesi Co-lecturing Bagi Kursus BPS2123: OSHE Legislations dan Kursus BPS1213: OSH Legislations
6 Mei 2025 | FIST Co-Lecturing Online
Satu sesi co-lecturing bagi kursus BPS2123: OSHE Legislations dan BPS1213: OSH Legislations, Program Sarjana Muda Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dengan Kepujian, telah berjaya dilaksanakan pada 06 Mei 2025 secara atas talian. Sesi ini telah menampilkan En. Ahmad Khairi bin Husain, Pengurus Alam Sekitar dari YTL Construction Sdn. Bhd., sebagai penceramah jemputan. Beliau telah menyampaikan syarahan bertajuk “Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974: Perspektif dari Industri Pembinaan” yang memberi tumpuan kepada pelaksanaan dan cabaran sebenar dalam mematuhi peruntukan undang-undang alam sekitar dalam konteks projek pembinaan.
Tujuan utama sesi ini adalah untuk memberikan pendedahan secara langsung kepada para pelajar berkaitan aplikasi sebenar Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dalam industri pembinaan, serta memperkukuh pemahaman mereka terhadap aspek pelaksanaan dan pematuhan perundangan alam sekitar dari sudut pandang praktikal dan profesional industri. Program ini juga bertujuan untuk merapatkan jurang antara teori akademik dan amalan di lapangan, selaras dengan usaha fakulti dalam memperkasa pembelajaran berasaskan pengalaman di industri.
Sepanjang sesi tersebut, En. Ahmad Khairi telah berkongsi pelbagai contoh kes sebenar, prosedur pengurusan alam sekitar di tapak pembinaan, serta peranan penting pihak industri dalam memastikan pematuhan kepada perundangan yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar. Beliau juga turut menjawab soalan-soalan yang diajukan oleh pelajar berkaitan cabaran pelaksanaan, penguatkuasaan dan pendekatan pemulihan kesan terhadap alam sekitar dalam projek-projek pembangunan.
#umpsasharing
#umpsamalaysia
#fistumpsa
#fistumpsagemilang
#jommasukfistumpsa
#umpsa