FIST UMPSA

News & Events

Featured

MINDS2023 Sesi pelajar baharu bersama Fakulti

Program MINDS2023 Sesi pelajar baharu bersama Fakulti Sains dan Teknologi Industri telah berlangsung pada 4 Oktober 2023 (Rabu) di Astaka, UMPSA. Pada tahun ini, FSTI telah mendapat seramai 228 pelajar yang merangkumi 48 pelajar dari Program Kimia Industri, 81 pelajar dari Program Bioteknologi Industri, 18 pelajar dari Program Sains Bahan dan 81 pelajar dari Program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.

Program dimulakan dengan ucapan aluan dan selamat datang oleh Profesor Madya Dr. Aizi Mazila bin Ramli, Dekan FSTI. Beliau menzahirkan rasa gembira atas kesungguhan pelajar dengan memilih FSTI UMPSA sebagai pilihan utama. Program diteruskan dengan slot pengenalan tentang fakulti oleh Timbalan Dekan Akademik, Dr. Mohd Fazli bin Farida Asras dan slot bersama kaunselor UMPSA oleh Puan Nur Azila binti Osman, Pegawai Psikologi UMPSA. Slot berikutnya adalah penerangan ringkas berkaitan dengan sesi pembelajaran pelajar oleh Ketua JKK PAKI, Profesor Madya Dr. Jaya Vejayan A/L Palliah dan sesi pengenalan kelab di bawah FSTI oleh wakil SCITEX. Seterusnya, pelajar bergerak mengikut program masing-masing ke Blok Z bagi mengikuti slot bersama Ketua Program dan Penasihat Akademik.

Sesi petang diterusnya dengan acara sukaneka yang turut diadakan di dalam Astaka, UMPSA. Pelajar dibahagikan kepada 18 kumpulan dan dibantu oleh fasilitator dari SCITEX. Beberapa acara sukaneka diadakan iaitu Magic Rope, puzzle dan Draw on Back. Kemeriahan dirasai oleh semua pelajar dengan pelbagai aktiviti yang dijalankan. Aktiviti ini bertujuan untuk memberikan pelajar peluang berkenalan dan merapatkan ukhwah di antara pensyarah, staf fakulti dan pelajar lama dengan pelajar baharu. Sesi penutup program dan penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Dekan Akademik, Dr. Mohd Fazli bin Farida Asras.

Berita disediakan oleh Ts. Hairunnisa Osman, Pegawai Sains FSTI

Featured

Tahniah FSTI atas pencapaian terbaik

Sekalung penghargaan dan tahniah buat Fakulti Sains dan Teknologi Industri atas kejayaan memperoleh 100% bagi Pembelajaran Teradun Sokongan (PTS) dan >10%  bagi Pembelajaran Teradun Gantian (PTG). Semoga kejayaan ini akan memberi inspirasi kepada semua staf FSTI.

Featured

Program Khidmat Sosial dan Perkongsian Ilmu Unit Teknikal Fakulti Sains dan Teknologi Industri, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah di SMK (P) Methodist Kuantan.

Pada 20 September 2023 (Rabu) yang lalu, Program Khidmat Sosial dan Perkongsian Ilmu telah dijalankan oleh Unit Teknikal Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI) bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan (P) Methodist, Kuantan. Program seumpama yang julung kali dianjurkan oleh Unit Teknikal Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI) ini melibatkan seramai 14 orang staf Unit Teknikal termasuk Ketua Teknikal telah mendapat kerjasama Pengetua, Guru Sains dan Pembantu Makmal di SMK(P) Methodist, Kuantan.

Program dimulakan sekitar jam 9 pagi di Makmal Biologi SMK (P) Methodist oleh pengacara majlis dengan ucapan alu-aluan Pengetua SMK (P) Methodist iaitu Pn Josephine Hezrin Binti Azhar, diikuti oleh ucapan dari Ketua Teknikal FSTI iaitu Dr Kamrul Fakir Bin Kamarudin. Sesi mengenalkan diri antara 14 orang staf Unit Teknikal FSTI yang hadir dengan 6 orang Guru Sains dan 3 orang Pembantu Makmal berjalan sebelum sesi bergambar. Acara menyampaikan plak kenangan oleh Ketua Teknikal FSTI kepada Pengetua dan pemberian sijil penghargaan oleh Pengetua kepada Ketua Teknikal dibuat selepas sesi bergambar antara semua staf teknikal dan pihak sekolah yang terlibat.

Aturcara diteruskan dengan perkongsian ilmu bertajuk Tatacara Pengurusan Bahan Kimia oleh Pegawai Sains Kanan, Ts. Hairunnisa Binti Osman diikuti Tatacara Pengurusan Sisa Buangan Kimia oleh Pegawai Sains, En. Ikram Bin Safiee kepada para Guru Sains dan Pembantu Makmal sekolah. Perkongsian ini bertujuan untuk meningkatkan tahap kesedaran warga sekolah mengenai kepentingan keselamatan dan kesihatan (OSH) di sekolah, memupuk budaya kerja selamat dan persekitaran yang kondusif di kawasan sekolah, serta mengurangkan risiko kemalangan atau insiden yang boleh berlaku di sekolah.

Aktiviti utama seterusnya dijalankan di Makmal Kimia sekolah tersebut yang telah dikenalpasti untuk dibantu pengurusannya memandangkan bahan kimia paling banyak ditempatkan di stor makmal tersebut. Antara aktiviti yang dijalankan ialah pemeriksaan keberkesanan kebuk wasap, memindahkan bahan kimia dan sisa bahan kimia dari kebuk wasap, mengasingkan sisa bahan kimia, mengeluarkan semua botol bahan kimia kemudian membersihkan dan menyusun semula botol bahan kimia mengikut jenis hazad dan abjad, melabel rak, serta membuat susun atur semula alat radas. Penerangan cara pengurusan bahan kimia, sisa bahan kimia dan stor turut dikongsikan kepada para guru dan pembantu makmal sekolah semasa aktiviti berlangsung bagi membantu mereka memahaminya dengan lebih jelas. Program tamat selepas kerja-kerja penyusunan semula bahan-bahan kimia dan alat radas serta pembersihan stor makmal selesai.

Diharap dengan kejayaan program ini, moto ‘Teknikal Bergerak Bersama Komuniti’ dapat diteruskan dengan Program Khidmat Sosial dan Perkongsian Ilmu seumpamanya pada masa akan datang untuk memberi manfaat kepada masyarakat.

 

Berita disediakan oleh Puan Nurul Salma Munirah Binti Ruslan, Penolong Pegawai Sains FSTI

Featured

Mesyuarat Perbincangan Bersama Panel Penasihat Industri (IAP) Bagi Program Ijazah Sarjana Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2023

Program Ijazah Sarjana Sains Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaaan mod kerja kursus di bawah Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI) UMPSA telah mengadakan mesyuarat bersama Panel Penasihat Industri (Industry Advisory Panel) yang dilantik, iaitu Dr Ahmad Sayoti Haji Sabran daripada Sapura Energy Berhad dan Encik Ruslan Anwar bin Md Saleh daripada Syarikat Pembinaan YTL Sdn Bhd. Mesyuarat ini diadakan pada 26 September  2023 di Bilik Mesyuarat Utama FSTI yang  dihadiri oleh Dekan Fakulti, Profesor Madya Dr. Aizi Nor Mazila Binti Ramli, Timbalan Dekan Akademik, Dr. Ahmad Fazli bin Farida Asras, Timbalan Dekan Penyelidikan, Ts. Dr Azizan bin Ramli. Turut serta adalah 11 orang pensyarah dan pihak pengurusan fakulti dalam sesi mesyuarat perbincangan ini bagi mendapatkan maklumbalas dan pandangan mengenai program. Mesyuarat dimulakan dengan sesi pembukaan yang dipengerusikan oleh dekan fakulti dan diikuti dengan sesi pembentangan keseluruhan Program Ijazah Sarjana oleh Ketua Program Sarjana, Ts. Dr Hanida Abdul Aziz.

Panel Penasihat Industri (Industry Advisory Panel) dari dalam negara adalah satu keperluan dalam aktiviti penambahbaikan pelaksanaan kurikulum program akademik yang sedia ada dan bagi memenuhi standard program MQA baharu iaitu Program Standard: 2023 Occupational Safety and Health. Ini bagi memastikan program Sarjana ini adalah berkualiti, relevan dan menepati kehendak pasaran serta bersesuaian dengan saranan pihak Kementerian Pengajian Tinggi yang menggalakan penglibatan pihak industri dalam memberi maklumbalas bagi penambahbaikan terhadap mutu program-program akademik di universiti.  

Mesyuarat perbincangan ini berakhir dengan sesi penutup pada jam 12.30 tengah hari yang dipengerusikan oleh dekan fakulti, juga dihadiri oleh pihak pengurusan dan semua pensyarah program. Pandangan dan cadangan daripada setiap panel ini amat diperlukan untuk kelestarian program agar memenuhi keperluan industri dan membantu program dalam meningkatkan mutu kualiti program sendiri. Seterusnya agar dapat menghasilkan graduan yang berkualiti seiring dengan pelan induk keselamatan dan kesihatan pekerjaan 2021-2025 (OSHMP)  dalam menjayakan program pembangunan negara bagi merealisasikan matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

 

Berita disediakan oleh Dr. Wan Norlinda Roshana binti Mohd Nawi, Pensyarah Kanan, Program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan FSTI.

Featured

Taklimat Keselamatan Makmal kepada Pelajar Baharu Program Diploma Sains Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), UMPSA.

Pada hari Isnin, 18 September 2023 yang lalu, Kluster Akademik, Unit Teknikal Fakulti Sains dan Teknologi Industri telah menganjurkan satu sesi taklimat Keselamatan Makmal kepada Pelajar Diploma Sains ambilan 2023/2024. Taklimat ini telah disampaikan oleh Puan Norshahida Zaidon, Pegawai Sains FSTI.

Seramai 55 orang pelajar telah terlibat dan program taklimat ini diadakan di bilik Mini Theater, Makmal Fakulti Sains & Teknologi industri. Taklimat telah berlangsung selama dua jam di mana sesi pertama adalah taklimat di Mini Theater dan sesi ke 2 adalah lawatan ke makmal FSTI bagi memberikan gambaran yang lebih jelas berkenaan peralatan keselamatan yang berada di makmal.

Tujuan utama program ini dilaksanankan adalah untuk memberikan maklumat berkenaan peraturan-peraturan keselamatan yang perlu dipatuhi semasa melakukan amali makmal. Selain itu juga, memberikan maklumat berkaitan peralatan keselamatan makmal yang berada di makmal serta pemakluman berkenaan “Evacuation Plan” sekiranya berlaku kemalangan di makmal FSTI.

Taklimat ini juga merupakan salah satu keperluan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, di mana Seksyen 15 menyatakan bahawa “pihak majikan perlu memberikan informasi, arahan dan kursus berkaitan keselamatan di tempat kerja  kepada pekerja”. Oleh itu, taklimat ini diadakan sebelum pelajar-pelajar ini memulakan Latihan amali makmal pada semester I 2023/2024 iaitu pada bulan Oktober 2023.

Semoga para pelajar yang terlibat mendapat manfaat daripada taklimat keselamatan ini dan dapat menjalani latihan amali dengan selamat di Makmal FSTI.

Pecah kaca, Pecah Gelas,

Peraturan dibaca, Tanggungjawab digalas.

 

Berita disediakan oleh Puan Norshahida Zaidon, Kluster Pengurusan Makmal, Unit Teknikal FSTI.

Featured

Mesyuarat Perbincangan Bersama Panel Penasihat Industri (IAP) Bagi Program Diploma Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 2023

Program Diploma Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaaan (KKP) di bawah Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FIST) UMPSA telah mengadakan mesyuarat bersama Panel Penasihat Industri (Industry Advisory Panel) yang dilantik iaitu Ir Nimi binti Ahmad daripada Konsultan OSH Perunding Nimi dan En  Amiruddin Bin Abu Bakar daripada BASF Petronas Chemicals (BPC) Sdn. Bhd. Mesyuarat ini diadakan pada 21 September  2023 di Bilik Mesyuarat Utama FIST. Seramai 23 orang pensyarah KKP dan pihak pengurusan fakulti terlibat dengan mesyuarat perbincangan ini bagi mendapatkan pandangan kepada program.  Mesyuarat dimulakan dengan sesi pembukaan yang dipengerusikan oleh Dekan Fakulti, Profesor Madya Dr. Aizi Nor Mazila Binti Ramli dan diikuti dengan sesi pembentangan keseluruhan program Diploma oleh Ketua Program Diploma KKP, Dr Norwahida Binti Yaakub .

Panel Penasihat Industri (Industry Advisory Panel) dari dalam negara adalah satu keperluan dalam aktiviti pemantauan pelaksanaan kurikulum program akademik yang sedia ada serta program akademik baharu iaitu Program Standard: 2023 Occupational Safety and Health bagi memastikan program Diploma ini adalah berkualiti, relevan dan menepati kehendak pasaran serta bersesuaian dengan saranan pihak Kementerian Pengajian Tinggi yang menggalakan penglibatan pihak industri dalam memberi maklumbalas bagi penambahbaikan terhadap mutu program-program akademik di Universiti.  

Mesyuarat perbincangan ini berakhir dengan sesi penutup pada jam 12.30 tengah hari yang dipengerusikan oleh Dekan Fakulti, juga di hadiri oleh pihak pengurusan dan semua pensyarah KKP. Pandangan- pandangan daripada setiap panel ini amat diperlukan untuk memberi input dan nasihat kepada program KKP agar seiring mengikut kehendak keperluan industri serta membantu program dalam meningkatkan mutu kualiti program agar dapat menghasilkan graduan Diploma KKP yang berkualiti seiring dengan pelan induk keselamatan dan kesihatan pekerjaan 2021-2025 (OSHMP)  dalam menjayakan program pembangunan negara bagi merealisasikan matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Berita disediakan oleh Nur Fazhilah Binti Abdul Razak, Pensyarah Program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan FSTI

Featured

Mesyuarat Perbincangan Bersama Panel Penasihat Industri (IAP) Program Ijazah Sarjana Muda Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dengan Kepujian (BPS), Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), UMPSA

Pada hari Isnin, 18 September 2023 yang lalu, Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI) telah menerima kunjungan dua Panel Penasihat Industri iaitu Ir. Dr. Muhammad Khairul Bin Ruslan dan En. Khairul Rizal Jamaludin bagi Program Ijazah Sarjana Muda Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan dengan Kepujian (BPS). Mesyuarat ini adalah bagi membincangkan berkenaan pemurnian struktur kurikulum baharu yang akan dibangunkan bagi program BPS.

Mesyuarat telah dijalankan di Bilik Mesyuarat Utama FSTI dengan dihadiri oleh ahli pengurusan tertinggi FSTI dan pensyarah-pensyarah program BPS. Majlis yang dipengerusikan oleh Dekan FSTI, Prof. Madya Dr. Aizi Nor Mazila Ramli ini telah dimulakan dengan ucapan aluan oleh Dekan FSTI dan pembentangan slaid pengenalan UMPSA dan FSTI. Majlis seterusnya disambung dengan pembentangan slaid pengenalan program Ijazah Sarjana Muda Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Dengan Kepujian oleh Ketua Program BPS, Dr. Mohd Shahril Abu Hanifah. Pembentangan ini meliputi pemakluman kandungan struktur kurikulum terkini dan cadangan kandungan struktur baharu berdasarkan Program Standard Occupational Safety and Health (OSH) 2023.

Majlis diteruskan dengan perbincangan dua hala bersama panel-panel berkenaan komen dan cadangan terhadap kandungan struktur baharu yang diperkenalkan. Input-input yang diberikan diambil maklum dan akan dipertimbangkan bagi proses pemurnian dan penambahbaikan struktur program yang akan dijalankan. Sekitar jam 11.30 pagi, panel-panel telah dibawa untuk melawat makmal program BPS dengan diiringi oleh Ketua Program dan wakil kumpulan pengurusan teknikal, Encik Mohamad Hafizi Bin Che Mat.

Seusai sesi lawatan, sesi penggulungan ucapan telah dilakukan oleh Dekan FSTI, Timbalan Dekan Akademik FSTI, dan Ketua Program BPS berkenaan intipati hasil perbincangan yang telah dijalankan sepanjang hari tersebut. Sebelum majlis berakhir, satu sesi fotografi telah diadakan dan majlis bersurai pada jam 1.00 tengah hari. 

 

Berita disediakan oleh Dr. Mohd Khairul Izamil Zolkefley, Pensyarah Program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan FSTI

Featured

UCAPAN PENGHARGAAN

Pihak Pengurusan Tertinggi dan Warga Staf FSTI mengucapkan tahniah buat Profesor Madya Dr. Aizi Nor Mazila Binti Ramli atas lantikan sebagai Dekan Fakulti Sains dan Teknologi Industri berkuatkuasa 1 September 2023.

Di kesempatan ini juga, Pihak Pengurusan Tertinggi dan warga staf FSTI merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Profesor Madya Ts. Dr. Saifful Kamaluddin Bin Muzakir @ Lokman sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai Dekan dan menjalankan fungsi Dekan Fakulti Sains dan Teknologi Industri.

Featured

Program CSR Fakulti Sains dan Teknologi Industri: Profesor Turun Padang

19 Ogos 2023 | SMK Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, Kuala Tahan, Jerantut

Seramai 12 orang staf dan pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) yang terdiri daripada staf Fakulti Sains dan Teknologi Industri dan pelajar pascasiswazah menyantuni pelajar-pelajar sekolah SMK Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, Kuala Tahan, Jerantut  dalam Program CSR Peofesor Turun Padang pada 19 Ogos 2023.

Majlis pembukaan program dimulai dengan Ucapan Aluan oleh wakil sekolah iaitu HPK HEM Tuan Suzali bin Mansur dan Ucapan oleh Dekan FSTI, Prof. Madya Ts. Dr. Saifful Kamaluddin bin Muzakir @ Lokman. Seterusnya, sesi penyampaian cenderamata oleh kedua-dua pihak.

 

Program CSR Profesor Turun Padang ini melibatkan 5 slot yang dikendalikan oleh 5 orang Pensyarah FSTI. Setiap slot membawa kepada tajuk-tajuk yang berlainan yang berasaskan kepada STEM asas sains buat Pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5.

Slot 1: Profesor Ts. Dr. Gaanty Pragas A/L Maniam

Tajuk: Faraday Cage

Slot 2: Prof. Madya Dr. Ahmad Salihin bin Samsudin

Tajuk: Science is Fun

Slot 3: Prof. Madya Dr. Mohd Fadzil bin Mohd Idris

Tajuk: Prinsip Pemadaman Api

Slot 4: Prof. Madya Ts. Dr. Saifful Kamaluddin bin Muzakir @ Lokman

Tajuk: Kisah Budak Nakal Si Penangkap Cahaya

Slot 5: Prof Madya Dr. Nina Suhaity binti Azmi

Tajuk: Water challenges

 

Selain sesi penyampaian ilmu, terdapat juga sesi praktikal yang melibatkan pelajar dalam beberapa kemahiran seperti Kaedah Pemadaman Kebakaran, Sesi merekabentuk sistem tapisan air, sesi membuat slime dan beberapa aktiviti lain.

 

Berita disediakan oleh Ts. Hairunnisa Osman, AJK Taskforce 3 Program CSR Profesor Turun Padang.

Image
— Contact
Faculty of Industrial Sciences and Technology, UMPSA
26300 Gambang
Pahang